FKPS RAIH KEJAYAAN BESAR UNTUK UPMKB | UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA SARAWAK
» ARTICLE » FKPS RAIH KEJAYAAN BESAR UNTUK UPMKB

FKPS RAIH KEJAYAAN BESAR UNTUK UPMKB

BINTULU: Fakulti Kemanusiaan, Pengurusan dan Sains (FKPS) Universiti Putra Malaysia Kampus Bintulu (UPMKB) telah meraih kejayaan besar dalam melahirkan graduan yang kompetitif, melaksana penyelidikan berimpak tinggi serta pengukuhan hubungan erat dengan komuniti dan industri sejak lima tahun penubuhannya.

Pengarah Kampus UPMKB Profesor Dr Shahrul Razid Sarbini berkata, FKPS juga telah memberi sumbangan besar dalam kecemerlangan akademik dan pembangunan masyarakat.

"(Justeru) sambutan ulang tahun FKPS ini bukan sekadar untuk meraikannya bahkan ketegasan terhadap komitmen fakulti untuk terus berkembang dan berinovasi," ujarnya.

Beliau berkata demikian dalam sambutan Ulang Tahun Ke-5 FKPS UPMKB bertemakan `Menetangi Kitu, Metusut Kitu: Lima Tanun Berungu' (Perjalanan Kita, Kejayaan Kita: Lima Tahun Bersama) dan Majlis Peluncuran dan Apresiasi Gemilang UPMKB di Dewan Sidang UPMKB pada Isnin lepas.

Sambutan ini melambangkan perjalanan fakulti ini sepanjang lima tahun penubuhannya serta berkenaan pencapaian FKPS dalam bidang pendidikan, penyelidikan dan keterlibatan masyarakat, sekali gus mengukuhkan peranannya sebagai institusi akademik terkemuka di Sarawak dan Malaysia.

Sementara itu Dekan FKPS Profesor Madya Ts Dr Wong Tze Jin berkata, FKPS bertekad untuk menjadi pusat kecemerlangan dalam bidang kemanusiaan, pengurusan dan sains, serta menggalakkan inovasi dan kerjasama global sebagai strategi utama dalam mencapai visi fakulti itu.

Beliau menyatakan penghargaan kepada semua tenaga akademik, bekas kepimpinan fakulti, pelajar serta rakan industri yang sentiasa memberi sokongan kepada FKPS.

Katanya, persiapan graduan tidak hanya tertumpu kepada penguasaan ilmu akademik tetapi juga pembangunan kemahiran dan nilai yang diperlukan dalam dunia  semakin kompleks dan berkembang pesat.

Dr Wong yakin FKPS akan terus menjadi institusi akademik terkemuka yang berjaya melahirkan graduan berkualiti tinggi dan berdaya saing di peringkat antarabangsa.

Terdahulu, majlis tersebut diserikan dengan upacara pemotongan kek oleh Prof Dr Shahrul dan barisan kepimpinan FKPS yang melambangkan komitmen fakulti dalam mengekalkan kecemerlangan pada masa hadapan.

Pelbagai acara lain diadakan, antaranya, persembahan kebudayaan tarian tradisional 'Inang Mendam Berahi' yang memperlihatkan keunikan warisan budaya Sarawak, tayangan video khas perjalanan FKPS, serta pengenalan program baharu Sarjana dalam Tenaga Boleh Diperbaharui (MRE) di fakulti terbabit.

Pengenalan MRE menunjukkan komitmen FKPS dalam bidang pendidikan tenaga hijau dan teknologi lestari sejajar dengan misi universiti untuk menangani cabaran global semasa.

Kepimpinan FKPS turut menegaskan berkenaan usaha fakulti itu dalam memperkukuh kerjasama antarabangsa, perkongsian industri dan inovasi penyelidikan.

Pada masa sama, Majlis Apresiasi FKPS 2024 turut diadakan bagi memberi penghargaan kepada tenaga pengajar dan staf fakulti yang telah menunjukkan kecemerlangan dalam bidang masing-masing.

Beberapa anugerah disampaikan kepada individu yang menunjukkan dedikasi luar biasa dalam pengajaran, penyelidikan, inovasi dan perkhidmatan fakulti supaya memberikan inspirasi kepada generasi pendidik dan pelajar pada masa hadapan.

 

Date of Input: 12/03/2025 | Updated: 12/03/2025 | lanz

MEDIA SHARING

UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA SARAWAK

Nyabau Road,
97008 Bintulu, Sarawak,
Malaysia

086855201
086855888
W.2025/7/4:14:55:10~noCache