BINTULU, 28 September 2025 – Isu buli semakin menjadi kebimbangan global, tidak hanya berlaku secara fizikal, malah turut menular ke ruang siber yang mencabar keselamatan emosi generasi muda. Menyedari hakikat ini, Universiti Putra Malaysia Sarawak (UPMS) melalui pelajar Kursus Kokurikulum Berkredit QKK2101 Bakti Siswa (Kumpulan 1) telah menganjurkan Program Putra Bakti: Satu Suara Tolak Buli 2025, UPM Sarawak dengan kerjasama Sekolah Kebangsaan Kampung Baru, Bintulu.
Program Putra Bakti: Satu Suara Tolak Buli 2025 berjaya menghimpunkan penyertaan seramai 100 orang pelajar dari dua sekolah peringkat daerah iaitu Sekolah Kebangsaan Kampung Baru, Bintulu dan Sekolah Kebangsaan Orang Kaya Mohammad, Bintulu. Penglibatan aktif para pelajar ini jelas mencerminkan kesungguhan masyarakat sekolah dalam menyahut usaha membina persekitaran pembelajaran yang lebih selamat, harmoni dan bebas daripada amalan buli.
Program ini digerakkan dengan matlamat untuk mendidik, menyedarkan serta menggerakkan komuniti dalam menangani isu buli secara proaktif melalui pengisian berfokus kepada pencegahan, pengurusan emosi dan komunikasi berkesan. Antara slot utama termasuklah ceramah oleh barisan penceramah berwibawa seperti Dr. Chan Siaw Leng (Henti Buli, Sebar Empati), Dr. Nurul Nadwa Binti Zulkifli (Stop Buli! Di Dunia Nyata & Dunia Maya), Dr. Juniza Binti Md Saad (Berani Jadi Kawan, Bukan Pembuli), Dr. Ellie Teo Yi Lih (Champion On The Field, Not In Bullying), Dr. Omar Faruqi Bin Marzuki (Daripada Pemerhati Kepada Pembela: Langkah Setiap Pelajar Untuk Menghentikan Buli), serta slot khas daripada Pegawai Polis IPD Bintulu Insp. Syafiqah bertajuk Jaga Diri, Sayangi Diri.
Selain ceramah, program turut disemarakkan dengan Ikrar Satu Suara Tolak Buli, tayangan video kesedaran bertajuk Aku Juga Manusia, Pertandingan Mewarna (HUE-TOPIA) yang menggalakkan bonding kekeluargaan, serta aktiviti LDK (Latihan Dalam Kumpulan) yang menekankan nilai empati, hormat-menghormati dan keberanian menolak penindasan.
Majlis Penutupan telah disempurnakan oleh En. Mohamad Syukri Mohamad Adnan, Ketua Pentadbir, Pejabat Pengurusan Pelajar UPMS, disaksikan oleh En. Mohd. Khaidir Bin Haji Mohd Arebi, Guru Besar SK Kampung Baru, Bintulu; Pn. Rajenit binti Elam, Penolong Kanan Pentadbiran SK Orang Kaya Mohammad, Bintulu; serta Muhammad Nur Iman Aminuddin, Pengarah Program. Turut hadir, En. Roslan Ismail, Fasilitator QKK2101 Bakti Siswa (Kumpulan 1).
Dalam ucapannya, En. Mohamad Syukri menegaskan:
“Buli bukan sekadar masalah disiplin, tetapi isu kemanusiaan yang perlu ditangani bersama. Komuniti kampus dan sekolah harus menjadi barisan hadapan dalam membina budaya empati dan keberanian untuk menolak penindasan.”
Sementara itu, Guru Besar SK Kampung Baru, En. Mohd. Khaidir menambah:
“Kesedaran tentang isu buli tidak boleh terhenti pada program ini sahaja. Ia mesti menjadi amalan berterusan dalam mendidik anak-anak agar lebih berani menolak, melaporkan dan menghentikan buli.”
Menurut fasilitator kursus, En. Roslan Ismail,
“Isu buli bukan sekadar masalah individu, tetapi ancaman kepada kesejahteraan sosial. Melalui program ini, mahasiswa UPM Sarawak bukan sahaja menyalurkan ilmu dan kesedaran kepada masyarakat, malah turut menggilap nilai empati, keberanian dan tanggungjawab sosial dalam diri mereka. Inilah suara mahasiswa untuk masyarakat – Satu Suara Tolak Buli.”
Menurut Muhammad Nur Iman Aminuddin, Pengarah Program Putra Bakti: Satu Suara Tolak Buli 2025:
“Program ini bukan sekadar kempen kesedaran, tetapi satu gerakan kecil daripada mahasiswa untuk komuniti. Kami mahu setiap pelajar berani berkata tidak kepada buli, menghormati perbezaan, dan berempati sesama insan. Dengan suara yang bersatu, kita mampu membina suasana pembelajaran yang lebih selamat dan harmoni.”
Program Putra Bakti: Satu Suara Tolak Buli 2025 tidak akan berjaya tanpa sokongan padu daripada pelbagai pihak. Justeru, pihak penganjur merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada YB Encik Iskandar Bin Turkee, Ahli Dewan Undangan Negeri N.67 Jepak, Pusat Pertanian Putra, UPM Sarawak, Kidzooona The Spring Bintulu, Boulevard Shopping Mall dan ahli keluarga pelajar QKK2101 Bakti Siswa Kumpulan 1, serta para individu yang telah menyalurkan penajaan dan sumbangan.
Sokongan ini bukan sahaja mengukuhkan kelancaran penganjuran program, malah membuktikan komitmen bersama dalam memupuk budaya prihatin, empati dan kebersamaan untuk menolak sebarang bentuk buli dalam kalangan masyarakat.
Program Putra Bakti: Satu Suara Tolak Buli 2025 membuktikan komitmen UPM Sarawak dalam memperkukuh hubungan strategik bersama pihak sekolah, sekali gus memperkasa pelajar dengan kemahiran sosial, moral serta motivasi untuk membina persekitaran pembelajaran yang lebih selamat dan sejahtera.
Date of Input: 08/10/2025 | Updated: 08/10/2025 | lanz
MEDIA SHARING