KERAJAAN SARAWAK KOMITED TRANSFORMASI SEKTOR PERTANIAN: ABANG JOHARI | UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA SARAWAK
» ARTICLE » KERAJAAN SARAWAK KOMITED TRANSFORMASI SEKTOR PERTANIAN: ABANG JOHARI

KERAJAAN SARAWAK KOMITED TRANSFORMASI SEKTOR PERTANIAN: ABANG JOHARI

BINTULU: Kerajaan Sarawak komited mentransformasikan sektor pertanian ke arah pertanian moden yang lebih produktif dengan hasil lumayan, kata Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Menurutnya, bagi merealisasikan hasrat itu tiga komponen utama akan ditekankan bagi membangunkan sektor pertanian di negeri ini iaitu melalui aplikasi teknologi digital, penambahbaikan prasarana serta infrastruktur dan pemasaran hasil tani.

"Memperkasakan sektor pertanian secara digital amat perlu bagi mengubah amalan pertanian konvensional dan tradisional kepada cara moden yang lebih mudah dan mampu menghasilkan hasil tanaman yang banyak dengan penggunaan tenaga minimal," ujarnya.

Beliau berkata demikian semasa berucap merasmikan Majlis Penutupan Kongres Pertanian Mampan 2024 (COSAFS 2024) yang berlangsung Hotel Parkcity Everly Bintulu, hari ini.

Pada masa sama, Abang Johari berkata aspek prasarana serta infrastruktur harus diambil kira di setiap lokasi pertanian dijalankan.

"Ia bagi memastikan setiap lokasi pertanian sama ada yang dijalankan secara kecil-kecilan mahupun sederhana besar mempunyai sistem pengairan yang baik termasuk mempunyai jaringan jalan raya yang bagus bagi mengangkut setiap hasil atau komoditi yang ditanam," jelas beliau.

Mengulas lanjut mengenai pelaksanaan pertanian moden dan digital, Abang Johari berharap agar Kementerian Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah (M-FICORD) dapat memberikan akses sewajarnya bagi membantu golongan petani mempraktikkan corak pertanian moden yang lebih menguntungkan dengan penggunaan tenaga yang minimal.

Beliau berkata, kerajaan Sarawak akan memastikan sektor pertanian secara digital akan dipraktikkan secara meluas, terutamanya dalam kalangan generasi muda yang bergiat dalam sektor yang mencabar itu.

"Apa yang penting, tanggapan negatif terhadap sektor pertanian sebagaimana sebelum ini harus dikikis kerana dengan penggunaan teknologi pertanian terkini, sektor pertanian semakin mendapat tempat dalam kalangan generasi muda kerana ia lebih mudah dikendalikan berbanding corak pertanian tradisional sebelum ini," tambah beliau.

Pada majlis itu, Abang Johari turut menyaksikan pertukaran memorandum persefahaman (MoU) antara Jabatan Pertanian dan Universiti Putra Malaysia (UPM).

Turut hadir Menteri M-FICORD merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemena Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom, Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki dan Timbalan Menteri M-FICORD Datuk Dr Abdul Rahman Ismail.

 

Date of Input: 17/07/2024 | Updated: 17/07/2024 | lanz

MEDIA SHARING

UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA SARAWAK

Nyabau Road,
97008 Bintulu, Sarawak,
Malaysia

086855201
086855888
W.2025/7/4:14:22:24~noCache