MENGUKUHKAN JALINAN AKADEMIK: UPM DAN TMU TANDATANGAN MEMORANDUM PERSEFAHAMAN | UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA SARAWAK
» ARTICLE » MENGUKUHKAN JALINAN AKADEMIK: UPM DAN TMU TANDATANGAN MEMORANDUM PERSEFAHAMAN

MENGUKUHKAN JALINAN AKADEMIK: UPM DAN TMU TANDATANGAN MEMORANDUM PERSEFAHAMAN

Fakulti Sains Pertanian dan Perhutanan, UPMKB, dengan sukacitanya mengumumkan kejayaan penandatanganan Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Teerthanker Mahaveer University (TMU), India, melalui majlis secara dalam talian yang telah diadakan pada 4 Mac 2025 yang lalu. MoU ini merupakan hasil selepas dua tahun usaha kerjasama yang berterusan dan mencerminkan komitmen bersama dalam memupuk kecemerlangan akademik, inovasi penyelidikan, dan mobiliti pelajar.

Pihak UPM diwakili oleh Dato' Profesor Dr. Ahmad Farhan Mohd Sadullah, Naib Canselor UPM; Prof. Dr. Shahrul Razid Sarbini, Pengarah Kampus UPMKB; Profesor Madya Dr. Noorasmah Binti Saupi, Dekan Fakulti Sains Pertanian dan Perhutanan; Dr. Keeren Sundara Rajoo, Pensyarah Kanan Fakulti Sains Pertanian dan Perhutanan; serta ahli-ahli pengurusan Fakulti Sains Pertanian dan Perhutanan. Pihak TMU pula diwakili oleh Prof. V.K. Jain, Naib Canselor TMU; Prof. Manjula Jain, Dekan Akademik; Dr. Neha Anand, Penolong Pengarah Akademik; dan barisan pengurusan TMU.

Inisiatif yang dicetuskan oleh Dr. Keeren ini telah membuka ruang bagi pelbagai program akademik, termasuk pertukaran pelajar, lawatan, penyelidikan serta persidangan akademik. Berdasarkan kejayaan program mobiliti pelajar secara dalam talian Trees, Tech, and Tradition 2024 yang telah diadakan pada 15 dan 16 April 2024 yang lalu, UPM dan TMU berhasrat untuk meluaskan peluang pertukaran pelajar, sama ada secara maya mahupun fizikal. Kerjasama penyelidikan, khususnya dalam bidang keterjaminan makanan selepas pelancaran Blueprint for Food Security oleh UPM, juga akan diberi penekanan.

Kerjasama ini menekankan kepentingan kolaborasi akademik antarabangsa dalam menghadapi cabaran global. Sebagai negara utama di Global South, Malaysia dan India berkongsi tanggungjawab untuk memajukan pendidikan tinggi dan penyelidikan demi manfaat serantau dan global. UPM komited untuk mengukuhkan jalinan akademik ini serta bekerjasama rapat dengan TMU bagi mewujudkan peluang bermakna untuk pelajar dan penyelidik.

Date of Input: 17/03/2025 | Updated: 17/03/2025 | lanz

MEDIA SHARING

UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA SARAWAK

Nyabau Road,
97008 Bintulu, Sarawak,
Malaysia

086855201
086855888
W.2025/7/4:17:32:48~noCache