MURUM SASAR JADI HAB TENAGA BERSIH MENJELANG 2030 | UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA SARAWAK
» ARTICLE » MURUM SASAR JADI HAB TENAGA BERSIH MENJELANG 2030

MURUM SASAR JADI HAB TENAGA BERSIH MENJELANG 2030

BELAGA, 2 Okt- Murum disasarkan untuk menjadi Hab Tenaga Bersih menjelang tahun 2030, sejajar dengan usaha Kerajaan Sarawak memperkasa Strategi Pembangunan Pasca-COVID-19.
 
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Murum, Kennedy Chukpai Ugon dalam kenyataan media berkata, selain dua empangan hidro yang sedia ada, kawasan Murum mempunyai potensi besar untuk meneroka tenaga bersih lain seperti tenaga solar, penghasilan hidrogen hijau, dan projek kredit karbon yang berasaskan kekayaan hutan simpan di kawasan tersebut.
 
Jelas beliau, Murum mahu dikenali bukan sahaja sebagai lokasi empangan, tetapi sebagai pusat inovasi tenaga bersih yang dapat menarik pelaburan, membuka peluang pekerjaan berkemahiran tinggi serta menyokong matlamat iklim Sarawak dan Malaysia.
 
Dalam pada itu, beliau turut menjelaskan bahawa Murum juga disasarkan sebagai destinasi utama ekopelancongan dan pelancongan budaya, memanfaatkan kekayaan warisan seperti rumah panjang, pesta tradisional dan keindahan alam semula jadi yang masih terpelihara.
 
Menurut beliau, peranan golongan belia dan usahawan tempatan adalah penting sebagai peneraju dalam pembangunan lestari, termasuk dalam menentukan hala tuju masa depan kampung dan komuniti masing-masing.
 
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama pada Simposium Antarabangsa iRandau 2025, anjuran Fakulti Kemanusiaan, Pengurusan dan Sains (FKPS), Universiti Putra Malaysia Sarawak (UPMS) , yang berlangsung di Lebu’ Kulit, Sungai Asap, Belaga, semalam.
 
Simposium selama tiga hari bertemakan “Bridging Gaps, Fostering Sustainability” dan menghimpunkan lebih 250 peserta dari dalam dan luar negara, termasuk penyelidik, pemimpin komuniti, Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO), mahasiswa serta wakil agensi kerajaan dan swasta.
 
Turut hadir, Felo Akademi Sains Malaysia, Prof Datuk Dr Jayum Jawan, Pegawai Pejabat Daerah Kecil Sungai Asap, Sylvester George, Timbalan Dekan FKPS UPMS, Dr Shairilizwan Taasim, serta Pemanca, Tony Kulleh.
 
Wartawan: KELVIN/PR

Date of Input: 08/10/2025 | Updated: 08/10/2025 | lanz

MEDIA SHARING

UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA SARAWAK

Nyabau Road,
97008 Bintulu, Sarawak,
Malaysia

086855201
086855888
W, (12:32:52am-12:37:52am, 14 Oct 2025)   [*LIVETIMESTAMP*]