Pada 10 September 2025 (Rabu), Pusat Pertanian Putra, Universiti Putra Malaysia Sarawak (PPP, UPMS) Bintulu telah menganjurkan Kursus Pengeluaran Makanan Ternakan dengan objektif memperkasa pengetahuan dan kemahiran peserta daripada kalangan penanam, syarikat swasta serta agensi kerajaan.
Kursus ini memberi penekanan kepada teknologi pembuatan makanan ternakan berasaskan tanaman kenaf sebagai satu alternatif untuk pemakanan ternakan ruminan kerana kandungan serat dan protein yang tinggi selain kaedah penanaman yang mudah dan mesra alam. Penganjuran kursus ini merupakan inisiatif khas atas permintaan Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara (LKTN) sebagai usaha menyokong agenda kerajaan dalam memperkukuh pembangunan ekonomi di peringkat akar umbi khususnya bagi masyarakat luar bandar dan menyokong agenda keterjaminan makanan secara langsung.
Menurut Ts. Dr. Carlina Freddie Simol @ Rachellynna selaku penyelaras kursus, objektif utama adalah memberi pendedahan menyeluruh serta meningkatkan keupayaan peserta untuk menghasilkan makanan ternakan sendiri menggunakan formula yang tepat. Kursus ini disampaikan oleh Dr. Muhamad Hakim bin Mohd Ali Hanafiah, Pensyarah Kanan Jabatan Sains Haiwan dan Perikanan, Fakulti Sains Pertanian dan Perhutanan, UPM Sarawak. Beliau membincangkan topik berkaitan Asas Pemakanan Ternakan Ruminan dan Kaedah Penyediaan Makanan Ternakan Ruminan.
Selain sesi teori, kursus ini turut dilengkapkan dengan sesi amali iaitu pembuatan pellet makanan ternakan serta perbincangan permasalahan dalam penghasilan pellet. Sesi amali ini dikendalikan oleh Dr. Muhamad Hakim bin Mohd Ali Hanafiah dengan sokongan fasilitator PPP, UPMS iaitu Dr. Zaidi Suif (Pegawai Pertanian Kanan) dan En. Razak Mat Sahar (Penolong Pegawai Pertanian).
Prof. Madya Dr. Hajah Amy Halimah binti Rajaee, Timbalan Pengarah Pusat Pertanian Putra UPMS, menegaskan bahawa program ini selari dengan aspirasi semasa bagi meningkatkan kapasiti masyarakat dalam sektor pertanian. Ia juga menyumbang kepada agenda keselamatan makanan negara, sejajar dengan aspirasi jenama PUTRA – “Pertanian untuk Rakyat” dan moto UPM – “Berilmu Berbakti”. PPP UPMS juga turut merakamkan terima kasih kepada Pengarah UPMS, YBhg. Profesor Dr. Shahrul Razid Sarbini atas sokongan berterusan kepada PPP dalam usaha menyumbang kepada pembangunan sektor pertanian. Sokongan dan kerjasama yang diberikan amat bermakna dalam memperkukuh peranan PPP sebagai pemangkin kepada kemajuan komuniti setempat.
Semoga kursus ini terus menjadi pemangkin ilmu dan manfaat kepada semua peserta serta menyumbang kepada pembangunan lestari sektor pertanian dan ternakan di Sarawak, selaras dengan slogan Sarawak Maju Makmur.
Date of Input: 17/09/2025 |
Updated: 17/09/2025 | lanz
MEDIA SHARING