20 peserta dari lima buah kampung di Daerah Subis telah menerima peralatan di bawah Program Komuniti Dan Pemindahan Ilmu Tentang Memperkasakan SosioEkonomi Komuniti Menerusi Penternakan Burung Puyuh di Balai Raya Pejuang, Kelulit pada 26 Ogos lepas.
Majlis Penyerahan Peralatan Program Pendayaan Komuniti@UniMadani itu disempurnakan oleh Timbalan Menteri Pembangunan Wanita dan Kanak-Kanak Sarawak Datuk Rosey Yunus.
Para peserta yang terlibat merangkumi penduduk di kawasan Kelulit iaitu dari Kampung Pejuang, Kampung Pulau Belunu, Kampung Sulap Lada, Kampung Pulau Untong dan Kampung Labau.
Program ini bertujuan membantu menjana pendapatan tambahan untuk golongan sasaran seperti warga emas, suri rumah, ibu tunggal dan penduduk yang tidak mempunyai pendapatan stabil kerana hanya bergantung pada hasil tanaman buah-buahan bermusim.
Sementara itu, misi utama pelaksanaan Program Pendayaan Komuniti Kementerian Kewangan – Universiti Awam (Komuniti@ UniMADANI) adalah untuk meningkatkan peranan Universiti Awam (UA) dalam mendaya upaya komuniti seiring falsafah pembangunan MADANI oleh kerajaan.
Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam ucapan Belanjawan 2024 telah menyatakan komitmen kerajaan untuk menyediakan peruntukan kepada setiap UA bagi pelaksanaan Program Pengupayaan Komuniti MADANI dan Program Pemulihan Dalam Komuniti OKU.
Perkongsian dan pemindahan ilmu telah mula dilaksanakan bermula 8 Ogos lepas secara teori dan praktikal kepada 20 orang peserta tersebut bagi tempoh lima bulan dan akan berakhir Disember ini nanti.
Program ini dijalankan atas usaha sama staf Pusat Pertanian Putra (PPP) Universiti Putra Malaysia Kampus Bintulu (UPMKB) yang diketuai oleh Ts Dr Carlina Freddie Simol @ Rachellynna (ketua projek), ahli projek UPMKB dan fasilitator bersama Dr Latifah Omar, Norbaya Che Rus, Khalid Nawi, Shamsudin Hatim dan Safri Abidin yang mempunyai kemahiran serta kepakaran yang diperlukan.
Menurut Carlina matlamat projek ini adalah bagi meningkatkan kemahiran peserta/komuniti dengan kaedah dan amalan baik penternakan untuk kebolehlaksanaan projek ternakan puyuh melalui pengurusan penjagaan dan pemakanan yang betul, memindahkan teknologi terkini kepada peserta/komuniti untuk meningkatkan produktiviti dan kualiti hasil ladang, meningkatkan penghasilan daging dan telur burung puyuh untuk penggunaan tempatan dan potensi pendapatan serta menggunakan najis burung puyuh untuk kompos bagi mempromosikan amalan pertanian mampan.
Program seumpama ini merupakan inisiatif salah satu platform menyahut seruan kerajaan (Dasar Agromakanan Negara 2021 – 2030) dalam mengurangkan kebergantungan terhadap barangan import, sebaliknya merancakkan kembali industri makanan dalam negara yang membawa kepada peningkatan tahap keuntungandanmenghasilkan proses pengeluaran pertanian yang lebih cekap, mampan dan berdaya tahan.
Pelaksanaan program ini juga selari dengan jenama PUTRA – ‘Pertanian untuk Rakyat’ dan motto UPM ‘Berilmu Berbakti’ serta meKeyakinan nyahut seruan Naib Canselor UPM untuk merakyatkan pertanian seperti petikan ucapan beliau: “UPM tidak mampu melakukannya secara bersendiri, dan perlu merakyatkan pertanian supaya pertanian menjadi teras kehidupan rakyat Malaysia dalam konteks masyarakat pascanormal yang kompleks, dan juga memberi peluang baharu yang mencabar dan berpotensi.”
Program ini diharap memberi manfaat dan membantu komuniti membangunkan diri dan keluarga melalui khidmat kepakaran UPM dan sekali gus mampu merealisasikan antara enam Nilai Teras Malaysia MADANI iaitu Kemampanan, Kesejahteraan, Hormat, Daya Cipta, dan Ihsan.
Pusat Pertanian Putra UPMKB ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada Dawiyah Abri, Awang Marzuki Awang Mustapha, Yusri Drahman, Jega Jantai, Gwendoline Nelson,Fairulnizam Kiprawi, Bada Garit, Josephine Jawai Makos dan semua pihak yang terlibat secara langsung atau tidak langsung dengan program ini.
Pusat Pertanian Putra UPMKB turut mendapat galakan dan sokongan daripada Pengarah Kampus UPMKB Prof Dr Shahrul Razid Sarbini agar penglibatan projek bersama komuniti seumpama ini dapat dikembangkan sejajar dengan cogan kata keramat UPM, Berilmu Berbakti.
Turut hadir pada majlis penyerahan peralatan tersebut ialah Profesor Madya Dr Khairulmazmi
Ahmad (Pengarah) dan Profesor Madya Dr Jasronita Jasni (Timbalan Pengarah, Pembangunan Komuniti) Pusat Transformasi Komuniti Universiti, UPM, yang pada masa sama membuat pemantauan projek UniMadaniyangdilaksanakan di Daerah Subis, Profesor Madya Dr Amy Halimah Rajaee (Timbalan Pengarah, Pusat Pertanian Putra, UPMKB), Samli Tinggal (Kaunselor), Pemanca Dr Ali Mudin (Pemanca Daerah Subis), Penghulu Junit Molok (Penghulu kawasan Kelulit) ketua-ketua kampung Saimon Osman @ Maimon Osman (Kampung Pejuang), Saimon Suhaili (Kampung Labau), Arman Simpol (Kampung Sulap Lada), Taip Bakar (Kampung Belunu) dan Rapin Idin (Kampung Pulau Untong) serta penduduk kampung setempat.
Date of Input: 11/09/2024 | Updated: 11/09/2024 | lanz
Nyabau Road,
97008 Bintulu, Sarawak,
Malaysia
Nyabau Road,
97008 Bintulu, Sarawak,
Malaysia