300 PENGUNJUNG MERIAHKAN KARNIVAL PERPUSTAKAAN UPMS | UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA SARAWAK
» NEWS » 300 PENGUNJUNG MERIAHKAN KARNIVAL PERPUSTAKAAN UPMS

300 PENGUNJUNG MERIAHKAN KARNIVAL PERPUSTAKAAN UPMS

Kanak-kanak yang menyertai program yang diadakan pada karnival Perpustakaan UPMS.

BINTULU: Seramai 300 pengunjung memeriahkan Karnival Perpustakaan Juh Ke Sitok: 'Universiti Putra Malaysia Sarawak (UPMS) For You' di Perpustakaan UPMS di sini, baru-baru ini.

Acara anjuran UPMS itu turut mendapat kerjasama Pelajar Bakti Siswa QKK2101 Kumpulan 2 UPMS yang turut mengadakan 'Putra Bakti: Protect Our Pets Day' dan rakan strategik Pusat Pengurusan Wakaf, Zakat dan Infak (WAZAN) UPM dan Perpustakaan Awam Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA).

Pengarah UPMS Profesor Dr Shahrul Razid Sarbini berkata, penganjuran karnival tersebut untuk menghubungkan universiti dengan komuniti setempat dan untuk menyerlahkan daya kepimpinan, kreativiti dan tanggungjawab sosial pelajar terhadap komuniti.

"Saya berharap karnival ini menjadi pemangkin kepada lebih banyak inisiatif komuniti pada masa akan datang,” katanya berucap pada penutupan karnival tersebut.

Beliau berkata, pihaknya menzahirkan penghargaan kepada semua pihak yang menjayakan program tersebut.

Sementara itu, Ketua Perpustakaan UPMS Awang Ahmad Faizi Awang Dahlan berkata, karnival tersebut membuktikan peranan perpustakaan kini semakin meluas.

Katanya, perpustakaan bukan sekadar tempat membaca tetapi ruang inklusif yang mendidik, menghiburkan serta membina jaringan bersama komuniti.

Justeru katanya, kejayaan penganjuran karnival itu membuktikan komitmen UPMS dan para pelajarnya dalam menjadikan perpustakaan sebagai ruang ilmu, pusat komuniti yang inklusif dalam pendekatan mendidik yang menyeronokkan.

Terdahulu antara aktiviti yang diadakan ialah pameran agensi, gerai jualan serta pertandingan yang mencungkil bakat dan kreativiti, antaranya pertandingan mewarna berkumpulan, regu karom dan reka cipta.

Turut diadakan adalah pelbagai aktiviti berteraskan kesedaran penyakit rabies membabitkan pertandingan Poster Digital, Cosplay Kucing, Program Adopsi Haiwan, Program Imunisasi Haiwan serta permainan sampingan yang menceriakan pengunjung.

Perpustakaan Awam BDA pula mengendalikan segmen bersama si cilik yang menjadi tumpuan kanak-kanak yang mengunjungi karnival tersebut.

Date of Input: 14/10/2025 | Updated: 14/10/2025 | lanz

MEDIA SHARING

UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA SARAWAK

Nyabau Road,
97008 Bintulu, Sarawak,
Malaysia

086855201
086855888
W, (02:38:48pm-02:43:48pm, 15 Oct 2025)   [*LIVETIMESTAMP*]