95 PESERTA SERTAI PERTANDINGAN PENGUCAPAN AWAM SUARA BELIA SARAWAK | UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA SARAWAK
» NEWS » 95 PESERTA SERTAI PERTANDINGAN PENGUCAPAN AWAM SUARA BELIA SARAWAK

95 PESERTA SERTAI PERTANDINGAN PENGUCAPAN AWAM SUARA BELIA SARAWAK

KUCHING: Seramai 95 peserta menyertai pertandingan pengucapan awam Suara Belia Sarawak anjuran The Sarawak Initiatives (TSI) Sabtu lepas.

Dalam satu kenyataan akhbar, TSI berkata acara yang diadakan di Pusat Maklumat Islam di sini menyediakan platform untuk belia menyuarakan idea mereka dan melibatkan diri dengan masyarakat.

Pertandingan ini menyaksikan peserta daripada pelbagai latar belakang membentangkan pelbagai topik.

Tema bagi Kategori Remaja ialah ‘Impian dan wawasan rakyat Sarawak’ manakala bagi Kategori Senior, temanya pula ialah ‘Bagaimana kita beralih daripada negara dunia ketiga kepada negara pertama’.

Para peserta menyampaikan ucapan yang bukan sahaja menarik dan bernas tetapi mencerminkan kekayaan budaya serta kepelbagaian intelektual Sarawak.

Pengerusi penganjur Telford Tan menekankan kepentingan acara itu, iaitu menyediakan platform kepada belia Sarawak untuk menegaskan kedalaman pemikiran kritis mereka dan membuktikan belia negeri ini mampu membina Sarawak yang lebih baik.

Panel hakim diketuai pensyarah undang-undang Samuel Desmond Tuah, termasuk Albert Loi, Aeida Nurhafidzah Zahili dan Sri Bala V Krishnan.

Rachael Chai Xin Ru dari Sekolah Menengah Swasta St Joseph dinobatkan sebagai johan bagi Kategori Remaja yang membawa pulang hadiah RM2,000.

Di tempat kedua Tan Veyron (SMK Kuching High) yang memenangi RM1,000 manakala Evonne Wong Yuan Yan (Sekolah Antarabangsa St Joseph) yang mendapat tempat ketiga, menerima RM500.

Manakala hadiah sagu hati RM50 menjadi milik Ryan Ngo Tan Chang Sheng (SMK Bandar Baru Seri Petaling) dan Ann Wong En Hui (Sekolah Antarabangsa St Joseph).

Bagi Kategori Remaja, Esmat Danyal Es Zulkarnaen dari Universiti Kolej i-CATS muncul juara yang melayakkannya memenangi hadiah RM2,000.

Tempat kedua bagi katagori ini pula dimenangi Liew Hui Yee (Institut Pendidikan Guru Kampus Batu Lintang) yang mendapat hadiah RM1,000 manakala tempat ketiga milik Muhammad Hud Aqeel Abdullah (Universiti Putra Malaysia Kampus Bintulu), memenangi RM500.

Hadiah sagu hati RM50 dianugerahkan kepada Villery Vrifrezsa Dubau William (Politeknik Kuching) dan pelajar SMK St Joseph Julian Eymard Sigah Suling dan Evelyn Teo Bao Yin.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Sentosa Willfred Yap yang hadir menyempurnakan majlis penutupan pertandingan itu melahirkan rasa amat bangga terhadap para peserta dan mengucapkan terima kasih kepada semua yang menyumbang kepada kejayaan acara itu.

Menurut TSI, acara itu dijayakan melalui sokongan serta sumbangan Ahli Parlimen Santubong Dato Sri Nancy Shukri, ADUN Demak Laut Datuk Dr Hazland Abang Hipni, ADUN Serembu Miro Simuh dan ADUN Tupong Fazzrudin Abdul Rahman.

TSI kekal komited menyediakan platform untuk golongan muda mengembangkan kemahiran pengucapan awam mereka dan mendapat keyakinan menyuarakan idea mereka.

Date of Input: 26/06/2024 | Updated: 26/06/2024 | lanz

MEDIA SHARING

UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA SARAWAK

Nyabau Road,
97008 Bintulu, Sarawak,
Malaysia

086855201
086855888
W.2025/7/4:22:28:32~noCache