AGRIHUB@GEDONG PERKUKUH INOVASI PERTANIAN PINTAR DI SARAWAK | UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA SARAWAK
» NEWS » AGRIHUB@GEDONG PERKUKUH INOVASI PERTANIAN PINTAR DI SARAWAK

AGRIHUB@GEDONG PERKUKUH INOVASI PERTANIAN PINTAR DI SARAWAK

Universiti Putra Malaysia Sarawak (UPMS) menerajui transformasi pertanian negeri dengan pelaksanaan AgriHub@Gedong, inisiatif strategik berimpak tinggi yang menggabungkan penyelidikan universiti, teknologi moden dan penglibatan aktif komuniti tani. Projek ini disokong oleh Kerajaan Negeri Sarawak di bawah kepimpinan Premier, Datuk Patinggi Tan Sri Dr. Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Haji Openg, yang berhasrat menjadikan Gedong sebagai pusat inovasi pertanian negeri dan penyumbang utama kepada agenda sekuriti makanan negara.
 
Beroperasi di Kampung Lubok Punggor, Gedong, AgriHub ini menggunakan teknologi pertanian pintar seperti dron multispektral, sistem pengairan automatik, serta mesin transplanter dan combine harvester bagi meningkatkan produktiviti penanaman padi sehingga 6 tan sehektar. Pensyarah Kanan Fakulti Sains Pertanian dan Perhutanan, UPMS, Ts. Dr. Muhammad Huzaifah Mohd Roslim, menjelaskan bahawa projek ini menjadi model kolaborasi tiga hala antara universiti, kerajaan dan komuniti, serta menjelmakan visi True North Naib Canselor UPM, Dato’ Prof. Ir. Dr. Ahmad Farhan Mohd Sadullah, dalam mengembalikan kekuatan universiti sebagai peneraju bidang pertanian negara.
 
Selain berperanan sebagai pusat penyelidikan, AgriHub@Gedong turut memperkasa komuniti tani melalui program Jalinan Kasih Tani (JKT) yang menghubungkan penyelidik, pelajar dan petani secara langsung di lapangan. Inisiatif ini bukan sekadar memperkenalkan teknologi baharu, tetapi membina kepercayaan dan mengubah budaya kerja petani ke arah pertanian berasaskan sains dan data. Dengan kejayaan pelaksanaannya, model AgriHub ini berpotensi diperluas ke Simunjan, Lundu, Banting dan Lingga memperkukuh usaha Sarawak mencapai tahap kecukupan beras dan menjadikan AgriHub@Gedong pusat rujukan pertanian pintar serantau di ASEAN.
 
 
 
 
 
 
 

 

Date of Input: 05/11/2025 | Updated: 05/11/2025 | lanz

MEDIA SHARING

UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA SARAWAK

Nyabau Road,
97008 Bintulu, Sarawak,
Malaysia

086855201
-
W, (06:14:52pm-06:19:52pm, 22 Nov 2025)   [*LIVETIMESTAMP*]