Tengku Muhammad Haiqal Tengku Nor Izuri, 20, dari Kinabatangan, Sabah, membuktikan ketabahan mampu mengatasi kehilangan apabila berjaya menamatkan pengajian Diploma Pengurusan Perniagaan di Universiti Putra Malaysia Sarawak (UPMS) tanpa ibu bapa di sisi.
Dibesarkan oleh bapa saudaranya selepas kehilangan kedua-dua orang tua, Haiqal tidak menjadikan kekurangan itu sebagai penghalang untuk berjaya, sebaliknya menjadikannya kekuatan untuk terus berjuang.
Beliau mengakui bidang perniagaan bukan pilihan asal, namun bimbingan pensyarah dan pengalaman sepanjang pengajian menumbuhkan minat mendalam terhadap bidang tersebut. Walaupun berdepan kesukaran menuntut ilmu di perantauan dan cabaran kewangan untuk pulang ke Sabah ketika kecemasan, Haiqal tetap cekal dan belajar menghargai setiap dugaan sebagai pelajaran hidup yang mematangkan dirinya.
Bagi Haiqal, kejayaan menggenggam diploma ini bukan hanya untuk diri sendiri, tetapi juga hadiah buat kedua-dua ibu bapanya yang telah tiada. Beliau yakin, walaupun mereka tidak dapat menyaksikan kejayaan ini, roh mereka pasti bangga dengan pencapaiannya yang lahir daripada semangat dan kasih sayang yang kekal di hati.
Date of Input: 11/11/2025 |
Updated: 11/11/2025 | lanz
MEDIA SHARING