‘DISCOVERING THE HARMONY OF SONGS’ TONJOL BAKAT PELAJAR UPM KAMPUS BINTULU | UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA SARAWAK
» NEWS » ‘DISCOVERING THE HARMONY OF SONGS’ TONJOL BAKAT PELAJAR UPM KAMPUS BINTULU

‘DISCOVERING THE HARMONY OF SONGS’ TONJOL BAKAT PELAJAR UPM KAMPUS BINTULU

BINTULU, 4 Nov: Program Discovering the Harmony of Songs (DHOS) yang dianjurkan pelajar kursus QKB2104 Vokal Asas, Universiti Putra Malaysia Kampus Bintulu (UPMKB) berlangsung dengan meriah di Dewan Pusat Kuliah UPMKB dan Time Square Megamall Bintulu pada 20 dan 26 Oktober yang lalu.

Acara ini bukan sahaja menonjolkan bakat pelajar dalam bidang muzik, tetapi juga memberikan perhatian kepada isu penting mengenai kanak-kanak istimewa, terutamanya mereka yang menghidap autisme.

Diketuai oleh seorang artis tempatan dan pengarah program DHOS, Rodriguez Gregory Wan, turut menampilkan persembahan daripada beliau sendiri yang menyanyikan dua lagu popular “Numur Satu” dan “Baka Tekang Intan”.

Program ini turut memberikan peluang kepada 12 pelajar QKB2104 untuk mempamerkan bakat mereka melalui bengkel vokal yang merangkumi gerakan dan busana, menjadikan setiap persembahan lebih menarik dan bermakna.

Lebih dari sekadar hiburan, program ini telah mengumpul dana melalui tabung khas untuk AECE Bintulu, yang bertujuan membantu kanak-kanak istimewa di kawasan tersebut.

Dengan kehadiran tujuh kumpulan yang mengambil bahagian, para pelajar menunjukkan komitmen mereka terhadap program ini, dinilai oleh juri dari kalangan rakan pelajar berdasarkan disiplin, kreativiti, dan persembahan.

Ketua Pentadbir Pejabat Pengurusan Pelajar UPMKB, Mohd Syukri Mohd Adnan menutup program tersebut dengan harapan agar inisiatif ini dapat memberi impak yang positif kepada masyarakat, meningkatkan kesedaran mengenai isu kanak-kanak istimewa dan memupuk rasa empati dalam kalangan pelajar dan masyarakat Bintulu secara keseluruhan.

 

Date of Input: 06/11/2024 | Updated: 06/11/2024 | lanz

MEDIA SHARING

UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA SARAWAK

Nyabau Road,
97008 Bintulu, Sarawak,
Malaysia

086855201
086855888
W.2025/7/4:21:28:23~noCache