HALAL GREENOVATE UNTUK KOMUNITI MERIAHKAN PESTA TUMBINA 2025 | UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA SARAWAK
» NEWS » HALAL GREENOVATE UNTUK KOMUNITI MERIAHKAN PESTA TUMBINA 2025

HALAL GREENOVATE UNTUK KOMUNITI MERIAHKAN PESTA TUMBINA 2025

BINTULU, 7 Ogos – Universiti Putra Malaysia Sarawak (UPMS) dan Institut Penyelidikan Produk Halal (IPPH), Universiti Putra Malaysia (UPM) buat julung kalinya bekerjasama sebagai rakan kolaborasi kepada Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA) dalam penganjuran Program Halal Greenovate untuk Komuniti yang menjadi antara tarikan utama Pesta Tumbina 2025 di Taman Tumbina, di sini.
 
Program ini dilaksanakan dengan penglibatan aktif Fakulti Sains Pertanian dan Perhutanan (FSPH) serta Fakulti Kemanusiaan, Pengurusan dan Sains (FKPS) daripada UPMS, yang bersama-sama menjayakan pelbagai aktiviti berteraskan inovasi dan kelestarian alam sekitar.
 
Bertemakan “Inovasi Produk Madu Kelulut yang Lestari”, inisiatif ini menampilkan perkongsian pengalaman penternakan lebah kelulut di Kebun Kelulut oleh pegawai di Taman Tumbina, Encik Mohd Anuar, diikuti dengan perkongsian tentang aspek sains kimia kandungan madu kelulut oleh Prof. Madya Dr. Norhasnida binti Zawawi, Ketua Laboratori Penyelidikan Sains Halal, IPPH, yang dibantu fasilitator dalam kalangan pelajar UPMS.
 
Sesi ini turut merangkumi penerangan beliau mengenai potensi inovasi produk berasaskan madu kelulut serta kepentingan penternakan lestari mengikut prinsip Halalan Toyyiban. Program turut dimeriahkan dengan demonstrasi pembuatan aiskrim madu kelulut oleh Dr. Hanisah Kamilah binti Abd Razak, Pensyarah Kanan FSPH merangkap Pengarah Program. Program Halal Greenovate untuk Komuniti ini berjaya menarik kehadiran 40 ahli komuniti dan pengunjung pesta serta 30 pelajar MRSM Bintulu bersama guru pengiring.
 
Pengurus Taman Tumbina Bintulu, Puan Alissee Sherrylin Anak Bagol, memaklumkan bahawa Pesta Tumbina 2025 mencatatkan 59,514 orang pengunjung, jauh melepasi sasaran awal 35,000 hingga 40,000 orang, menunjukkan sambutan luar biasa daripada masyarakat setempat dan pelancong luar.
 
Dr. Hanisah Kamilah binti Abd Razak berkata, penganjuran program ini membuktikan bahawa inovasi dan kelestarian alam sekitar boleh berjalan seiring, selain memberi peluang kepada komuniti untuk menjana ekonomi melalui penghasilan produk halal berkualiti. “Semoga program seumpama ini dapat diteruskan pada masa hadapan agar dapat berkongsi ilmu dan memberi kesejahteraan kepada warga Bintulu serta kawasan sekitarnya,” tambah beliau.
 
Acara ini turut diserikan dengan kehadiran Prof. Madya Dr. Noorasmah Saupi, Dekan FSPH, dan Prof. Madya Dr. Zakry Fitri Ab. Aziz, Ketua Jabatan Sains Tanaman, FSPH, yang hadir pada malam Pelancaran Pesta Tumbina 2025 bagi memberi sokongan kepada penganjuran program berteraskan komuniti ini.
 
Program ini turut mencerminkan komitmen UPMS dalam menyokong pembangunan komuniti setempat, khususnya warga Bintulu, melalui pendidikan, penyelidikan dan inovasi. Inisiatif ini juga mengangkat slogan UPMS dan UPM “Pertanian . Inovasi . Kehidupan” serta misi UPMS iaitu memberikan sumbangan bermakna kepada pembentukan kekayaan dan pembangunan negara serta kemajuan manusia sejagat menerusi penerokaan dan penyebaran ilmu sebagai panduan dalam setiap usaha yang dijalankan.

Date of Input: 14/08/2025 | Updated: 14/08/2025 | lanz

MEDIA SHARING

UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA SARAWAK

Nyabau Road,
97008 Bintulu, Sarawak,
Malaysia

086855201
086855888
W, (06:55:45pm-07:00:45pm, 16 Aug 2025)   [*LIVETIMESTAMP*]