Seramai 29 orang pelajar daripada Universiti Putra Malaysia Kampus Bintulu Sarawak (UPMKB) dan Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA), Negara Brunei Darussalam telah menyertai Program Inbound Global Interaction (GLINT) UPMKB-UNISSA anjuran kerjasama antara Majlis Perwakilan Kolej, Kolej Sri Rajang UPMKB dan UNISSA. Program ini telah berlangsung selama empat (4) hari bermula 1 hingga 4 Januari 2025 di UPMKB.
Pelbagai pengisian telah diadakan antaranya Lawatan Penanda Aras di Fakulti Sains Pertanian dan Perhutanan, Perpustakaan, Lawatan ke Pusat Pertanian Putra (PPP) dimana peserta berpeluang melawat ke Taman Rusa, Hortikultur dan lawatan ke Pusat Penetasan dan Kompleks Kolam Ikan.
Peserta juga berpeluang membuat amali pemprosesan baja kompos, kaedah pemeliharaan rusa antaranya cara operasi rumah gelap dan pengurusan makanan rusa. Selain itu peserta juga diberi penerangan berkenaan jenis-jenis ikan yang diternak untuk digunakan sebagai bahan pengajaran dan komersial oleh pelajar dan PPP.
Lawatan balas rombongan ini adalah berikutan Program Outbound Jejak Asia: Negara Brunei Darussalan yang diadakan pada 16 hingga 25 Jun 2024 di UNISSA dan Universiti Brunei Darussalam (UBD) yang melibatkan seramai 28 orang pelajar.
Pegawai pengiring UNISSA iaitu YM Dr. Thaqifah Salihah Binti Haji Mohd Salleh yang juga selaku Timbalan Dekan, Fakulti Pertanian UNISSA juga berkata akan meneruskan kerjasama seperti ini setiap tahun bagi membuka lebih banyak peluang kepada pelajar UNISSA dan UPMKB menerokai teknologi dalam bidang pertanian dan budaya serumpun dikedua buah negara.
Program ini telah berakhir dengan Majlis Makan Malam iaitu majlis penutup yang telah dirasmikan oleh YBhg. Prof. Dr. Shahrul Razid Sarbini selaku Pengarah Kampus UPMKB dan juga merangkap Pengerusi KUUB. Penganjuran seumpama ini perlu terus diperkasa untuk memastikan jalinan hubungan kedua buah negara dan Institusi Pengajian Tinggi di Borneo ini berpanjangan seiring dengan hasrat Korsortium Universiti Universitas Borneo (KUUB).
Date of Input: 06/01/2025 |
Updated: 06/01/2025 | lanz
MEDIA SHARING