Bintulu, 18 -19 Oktober 2025 – Sukan Bola Baling terus mendapat perhatian dan sambutan yang menggalakkan daripada komuniti sukan di Sarawak. Penganjuran Kejohanan Bola Baling Kenyalang UPMS 2025 dengan kerjasama Kelab PEMADAM Mahasiswa UPMS telah berlangsung dengan penuh semangat kesukanan dan mendapat penyertaan yang amat menggalakkan, termasuk penyertaan pasukan dari Kuching, Kapit, dan Miri dan Bintulu.
Kejohanan ini merupakan anjuran pelajar Kursus Kokurikulum Berkredit QKS2103 Bola Baling UPMS, Semester Pertama Sesi Akademik 2025/2026, diketuai oleh pengarah kejohanan, Sofea Ak Justine, dan kelolaan penyelaras program, Encik Sylvester Sumping Anak Alfred Tedong. Penganjuran ini menjadi platform penting dalam usaha memperkukuh semangat kesukanan dan memperluaskan jaringan komuniti Bola Baling di Sarawak.
Selain memupuk minat terhadap sukan, kejohanan ini turut menyokong objektif utama PEMADAM dalam membanteras gejala penyalahgunaan dadah, khususnya dalam kalangan belia dan komuniti. Melalui kerjasama strategik seperti ini, PEMADAM berperanan penting menyemai kesedaran tentang bahaya dadah dan menggalakkan gaya hidup sihat melalui penglibatan aktif dalam aktiviti sukan serta program komuniti.
Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (PEMADAM) Bintulu dan Jawatankuasa One Stop Committee Menangani Isu Dadah & Substans (OSC MIDS) Daerah Bintulu juga telah memberikan sokongan moral dan sumbangan kewangan dalam menjayakan kejohanan ini, termasuk dalam aspek penyampaian mesej kesedaran serta mempromosikan nilai positif kepada para peserta.
Kerjasama ini menunjukkan komitmen bersama antara pihak universiti dan agensi luar untuk membentuk generasi muda yang sihat, bebas dadah, dan berdaya saing. Antara pengisian kejohanan ini juga adalah Kelab PEMADAM Mahasiswa UPMKB membuka booth pameran, pertandingan melukis poster dan kuiz tentang kesedaran bahaya penggunaan dadah.
Bagi kategori lelaki, Seahorse Titans telah dinobatkan sebagai Johan, diikuti oleh X- Lion B di tempat kedua, manakala tempat ketiga dimenangi oleh Gotrazz.Sementara itu, bagi kategori perempuan, PHT SWK telah berjaya muncul sebagai Johan, diikuti oleh Smoky River di tempat kedua, dan Bintulu Hawk di tempat ketiga.
“Kejohanan ini bukan sekadar tentang menang atau kalah, tetapi tentang semangat kesukanan, disiplin, dan persahabatan yang terjalin antara para pemain. Diharapkan platform seperti ini dapat terus menyemai minat terhadap sukan bola baling dalam kalangan masyarakat,” ujar penganjur. Majlis penutupan disempurnakan oleh Puan Rosidah Binti Basir, Penasihat Kelab PEMADAM Mahasiswa UPMS yang mewakili Pengerusi Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (PEMADAM) Daerah Bintulu.
Kejohanan edisi 2025 ini menjadi simbol kebangkitan semula semangat bola baling di Sarawak, apabila penganjurannya di Gelanggang Bola Baling UPMS berjaya menghimpunkan pasukan-pasukan hebat dari pelbagai kawasan. Dengan sokongan padu daripada para peserta, pihak penganjur dan komuniti setempat, Kejohanan Bola Baling Kenyalang UPMS diyakini akan terus menjadi platform tahunan yang merapatkan hubungan komuniti sukan serta menyemarakkan lagi minat terhadap bola baling di negeri ini.
Date of Input: 29/10/2025 |
Updated: 29/10/2025 | lanz
MEDIA SHARING