KEPRIHATINAN WARGA UPMKB TERHADAP ANAK YATIM MELALUI USAHA MEMBUDAYAKAN STEM | UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA SARAWAK
» NEWS » KEPRIHATINAN WARGA UPMKB TERHADAP ANAK YATIM MELALUI USAHA MEMBUDAYAKAN STEM

KEPRIHATINAN WARGA UPMKB TERHADAP ANAK YATIM MELALUI USAHA MEMBUDAYAKAN STEM

Miri, 1 Mac - Penghuni Kompleks Kebajikan Hamidah Yakub Miri ceria menerima kunjungan 40 mahasiswa dalam program Kasih Seikhlas Hati pada 28 Februari sehingga 1 Mac 2025 anjuran pelajar kursus ko–kurikulum QKK2101 Bakti Siswa, Semester Kedua Sesi Akademik 2024/2025, Universiti Putra Malaysia Kampus Bintulu Sarawak (UPMKB).
 
Program ini telah diserikan lagi degan kehadiran Yang Berhormat Dato Sri Lee Kim Shin, Menteri Pengangkutan Sarawak, bagi menyempurnakan majlis penutupan program itu. Dalam ucapannya, beliau kagum dan sentiasa menyokong penuh usaha gigih pihak Universiti Putra Malaysia Kampus Bintulu Sarawak turun ke padang menemui masyarakat untuk mendidik dan berkongsi ilmu bagi membuka jalan dan ruang kepada masyarakat luar untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi, khasnya golongan yang kurang bernasib baik.
 
ADUN. 75 Senadin itu juga berkata, “Kepekaan institusi seperti UPMKB merangka kursus wajib kepada mahasiswa khasnya berkaitan hubungan dan tanggungjawab kepada masyarakat akan melahirkan golongan yang lebih holistik, iaitu tidak hanya memfokuskan kepada kejayaan akademik sahaja. Pendekatan ini akan mewujudkan mahasiswa yang lebih prihatin dan mempunyai sifat ‘human touch’, di mana mereka akhirnya akan bergraduat dan seterusnya menjadi sebahagian dari masyarakat”.
 
Beliau juga berharap agar anak-anak penghuni Kompleks Kebajikan Hamidah Yakup menggunakan peluang, pengalaman dan pengetahuan ini untuk meningkatkan usaha bagi mencapai kejayaan yang lebih baik dalam pelajaran. “Hanya inilah cara untuk masyarakat meningkatkan pendapatan mereka bagi menyokong usaha kerajaan Sarawak dan Malaysia umumnya mencapai sasaran status Negara berpendapat tinggi menjelang tahun 2030", ujar beliau lagi, Dekan Fakulti Kemanusiaan, Pengurusan dan Sains UPMKB, Prof. Madya Dr. Wong Tze Jin yang mewakili Pengarah Kampus UPMKB turut hadir di majlis itu berkata “Kami di UPMKB sangat gembira dengan sambutan warga kompleks ini dan merakamkan penghargaan yang tidak terhingga kepada Yang Berhormat Dato Sri Lee Kim Shin sebagai adun kawasan yang memberi galakan dan sokongan tajaan bagi menjayakan program ini, serta pihak-pihak luar yang terlibat secara langsung atau tidak langsung”.
 
Exco Lembaga Kebajikan Anak-Anak Yatim Negeri Sarawak (Peryatim) cawangan Miri, Tuan Haji Yusree bin Haji Kamaruzzaman pula berkata “Kerjasama erat ini adalah sangat bermanfaat untuk masyarakat dan negara serta wajar diteruskan lagi dimasa hadapan”. Pengarah program Kasih Seikhlas Hati, saudara Muhammad Hariz Danish berkata, matlamat program tersebut ialah untuk merapatkan hubungan dengan mahasiswa UPMKB dan anak-anak yatim dan menceriakan mereka dengan pengisian program yang menarik antaranya pertandingan berkaitan STEM iaitu rekacipta dari bahan terpakai menghasilkan kereta belon, menara kreatif, letusan gunung berapi, supaya mereka lebih tertarik dalam bidang sains.
 
Menurut fasilitator program ini, Encik Mohd Saufi Mohd Ramli, tugas menyelia program yang berasal dari idea gabungan pelajar dari pelbagai jurusan dan latar bulakang ini menjadi mudah kerana mereka bersedia dan berani menyahut cabaran untuk berbakti kepada masyarakat luar tanpa prejudis walaupun tidak mempunyai pengalaman. “Program serampang dua mata seperti ini adalah relevan dalam mendidik golongan muda seperti mahasiswa supaya sentiasa terbuka, bertimbang rasa, prihatin serta sentiasa mencari peluang untuk membantu masyarakat setempat, di samping mendedahkan kepada masyarakat untuk mengambil manfaat dari ilmu pengetahuan dan kemahiran mahasiswa”, tambah beliau.
 
Semua peserta bersemangat dan gembira sepanjang aktiviti dijalankan sepanjang program ini. Salah seorang peserta, Muhammad Azwan bin Zainol berkata, “Aktiviti ini sangat seronok dan terima kasih sebab datang. Kalau boleh datanglah lagi”. Menurut Nur Alysha, “program ini sangat best dan seronok, saya sangat bahagia, terima kasih datang”. Hadiah-hadiah hasil daripada sumbangan pelbagai pihak luar antaranya Sahabat Resources, Ezy Jaya Enterprise, E-Bezt Trading Co., Baitulmal cawangan Bintulu, New Workd Mart Sdn. Bhd. cawangan Bintulu, ibubapa pelajar dan orang perseorangan telah disampaikan kepada anak-anak yatim tersebut oleh tetamu kehormat, Dato Sri Lee Kim Shin.
 
 
 
 
 
 
 
 

Date of Input: 04/03/2025 | Updated: 04/03/2025 | lanz

MEDIA SHARING

UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA SARAWAK

Nyabau Road,
97008 Bintulu, Sarawak,
Malaysia

086855201
086855888
W.2025/7/5:4:19:59~noCache