KERAJAAN SARAWAK JALIN KERJASAMA ERAT DENGAN INSTITUSI PENGAJIAN TINGGI | UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA SARAWAK
» NEWS » KERAJAAN SARAWAK JALIN KERJASAMA ERAT DENGAN INSTITUSI PENGAJIAN TINGGI

KERAJAAN SARAWAK JALIN KERJASAMA ERAT DENGAN INSTITUSI PENGAJIAN TINGGI

Iskandar (dua dari kanan) sejurus selesai melakukan simbolik merasmikan Program Outreach Inisiatif Pendidikan Jabatan Premier Sarawak yang diadakan di UPMS pada Sabtu.


BINTULU: Kerajaan Sarawak akan membentuk jalinan kerjasama dan persefahaman dengan institusi pengajian tinggi bagi memastikan ianya memberikan manfaat buat pelajar yang merupakan anak jati negeri ini, kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jepak Iskandar Turkee. 

Menurutnya, melalui pelbagai program sama ada anjuran bersama atau inisiatif kerajaan, ianya dilihat mampu melahirkan lebih ramai lagi graduan tempatan dari masa ke masa. 

"Program  yang diadakan ini dilihat menjadi platform penting bagi memperkukuh hubungan antara institusi pendidikan dan Kerajaan Sarawak, selain membuka peluang kepada pelajar mengenali pelbagai inisiatif, biasiswa, dan bantuan pendidikan yang disediakan untuk anak-anak Sarawak, " jelasnya. 

Iskandar berkata demikian semasa berucap merasmikan Program Outreach Inisiatif Pendidikan Jabatan Premier Sarawak yang diadakan di Universiti Putra Malaysia Sarawak (UPMS) pada Sabtu.

Lebih bermakna lagi katanya bahawa Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg turut memperuntukkan sebanyak RM10,000 untuk Foodbank UPMS sebagai sokongan kepada kebajikan pelajar serta memastikan tiada pelajar yang menghadapi kekangan makanan ketika menuntut ilmu.

"Saya dalam masa sama menzahirkan penghargaan serta terima kasih kepada Pejabat Setiausaha Politik Premier Sarawak dan UPMS atas penganjuran program yang sangat bermanfaat ini. 

Antara agensi yang turut serta dalam program ini termasuk Yayasan Sarawak, Kementerian Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Perbadanan Pembangunan Perumahan Sarawak (HDC), Sarawak Centre of Performance Excellence Sdn Bhd (SCOPE) dan SAINS. 

"Program sebegini sebagai tepat pada masanya kerana Bintulu sedang membangun pesat dalam sektor pendidikan yang mana diyakini menjadi satu lagi mercu usaha beterusan kerajaan bagi memperkasakan sektor  pendidikan di negeri ini," jelasnya. 

Kerajaan Sarawak dalam masa sama tegasnya sentiasa komited menyediakan peluang dan ruang untuk melahirkan generasi muda yang berilmu, berdaya saing dan bersedia menjadi pemimpin masa hadapan negeri dan negara. 

Date of Input: 22/10/2025 | Updated: 22/10/2025 | lanz

MEDIA SHARING

UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA SARAWAK

Nyabau Road,
97008 Bintulu, Sarawak,
Malaysia

086855201
-
W, (11:23:31pm-11:28:31pm, 21 Nov 2025)   [*LIVETIMESTAMP*]