KUCHING TUAN RUMAH KONGRES TERNAKAN VETERINAR SEDUNIA 2025 | UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA SARAWAK
» NEWS » KUCHING TUAN RUMAH KONGRES TERNAKAN VETERINAR SEDUNIA 2025

KUCHING TUAN RUMAH KONGRES TERNAKAN VETERINAR SEDUNIA 2025

Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom bersama wakil-wakil jawatankuasa selepas sidang media Kongres Ternakan Veterinar Sedunia (WVPAC) 2025. Foto TVS

KUCHING, 8 Sept: Bandar raya ini bakal melakar sejarah apabila menjadi tuan rumah Kongres Ternakan Veterinar Sedunia (WVPAC) ke-23 dari 6 hingga 10 Oktober 2025 yang dijangka menghimpunkan lebih 1,500 delegasi dari hampir 50 negara.

Penganjuran julung kali di Sarawak itu dianggap satu kejayaan besar selepas Malaysia berjaya memenangi proses bidaan untuk menjadi tuan rumah.

Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom berkata, WVPAC 2025 menjadi wadah penting membincangkan isu keselamatan makanan yang semakin membimbangkan.

“Acara seperti ini penting untuk berkongsi idea dan platform bagi memastikan industri ternakan lebih mampan, di samping menjamin kualiti, kuantiti dan keselamatan makanan,” katanya pada sidang media WVPAC 2025 di sini, hari ini.

Beliau menekankan keperluan transformasi sektor makanan dan pertanian berasaskan teknologi, pendidikan serta perubahan minda petani, khususnya di kawasan luar bandar.

“Saya mahu pastikan rakyat luar bandar mendapat peluang sama seperti di bandar. Kita tidak boleh lagi menggunakan cara lama, sebaliknya perlu ubah sistem tersebut. Lawatan ke luar negara memberi peluang untuk kita membawa pulang teknologi yang sesuai untuk diaplikasikan di Sarawak,” ujarnya.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau memaklumkan kerjasama Sarawak dengan Universiti Putra Malaysia (UPM) dalam menubuhkan kursus perubatan veterinar di Bintulu bagi meningkatkan tenaga profesional dalam bidang tersebut.

Dr Rundi turut menyuarakan kebimbangan terhadap defisit perdagangan makanan yang terus meningkat, mencecah RM7.2 bilion pada 2024.

Katanya, kongres itu bukan sahaja memberi manfaat besar kepada sektor ternakan, malah membuka peluang perniagaan, pemasaran serta pendedahan global kepada usahawan, petani dan penternak tempatan.

“WVPAC 2025 akan menjadi simbol transformasi sektor makanan dan ternakan di Sarawak, sekali gus meninggalkan legasi penting untuk generasi akan datang,” jelasnya.-TVS

Date of Input: 10/09/2025 | Updated: 10/09/2025 | lanz

MEDIA SHARING

UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA SARAWAK

Nyabau Road,
97008 Bintulu, Sarawak,
Malaysia

086855201
086855888
W, (07:11:45am-07:16:45am, 13 Sep 2025)   [*LIVETIMESTAMP*]