SARAWAK PACU BUDAYA INTEGRITI SERANTAU MENERUSI BIIS 2025 | UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA SARAWAK
» NEWS » SARAWAK PACU BUDAYA INTEGRITI SERANTAU MENERUSI BIIS 2025

SARAWAK PACU BUDAYA INTEGRITI SERANTAU MENERUSI BIIS 2025

KUCHING, 21 Julai: Sarawak bakal menjadi tumpuan serantau apabila menganjurkan Sidang Kemuncak Integriti Antarabangsa Borneo (BIIS) 2025 yang dijadual berlangsung dari 29 hingga 30 Julai ini.

Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Integriti dan Ombudsman), Datuk Dr Juanda Jaya berkata, sidang kemuncak berprestij itu dijangka menghimpunkan lebih 1,000 peserta dari seluruh Borneo termasuk Sabah, Brunei, Kalimantan dan Filipina.

“BIIS 2025 bukan sekadar seminar konvensional sebaliknya merupakan platform strategik untuk membentuk generasi pemimpin muda berintegriti tinggi.

“Melalui sidang ini, kita akan menerapkan budaya integriti, tadbir urus yang baik dan nilai anti rasuah khususnya dalam kalangan pelajar universiti,” katanya kepada media selepas melakukan kunjungan hormat kepada Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg di Wisma Bapa Malaysia, hari ini.

Persidangan itu dianjurkan oleh Unit Integriti dan Ombudsman Sarawak dengan kerjasama Universiti Putra Malaysia Sarawak (UPMS).

Menurut Dr Juanda, inisiatif tersebut sejajar dengan aspirasi Sarawak untuk mencapai status wilayah berpendapatan tinggi menjelang 2030 yang turut menekankan asas integriti dalam pembangunan.

“Menjelang 2030, kita mahu Sarawak bukan sahaja berpendapatan tinggi tetapi juga negeri yang tinggi integritinya,” ujarnya.

Beliau turut menyarankan agar BIIS dijadikan sebagai acara tahunan yang dianjurkan secara bergilir-gilir di seluruh Borneo.

Sementara itu, Pengarah UPMS, Prof. Dr Shahrul Razid Sarbini menyifatkan BIIS 2025 sebagai langkah berani memperkukuh jaringan pendidikan dan kepimpinan serantau.

“Ini kali pertama sidang kemuncak bertaraf antarabangsa dianjurkan dengan penyertaan 16 institusi pengajian tinggi awam dan swasta di seluruh Borneo.

“Fokus utamanya adalah membudayakan nilai integriti dalam kalangan pemimpin muda,” jelasnya.-TVS

 

Date of Input: 23/07/2025 | Updated: 23/07/2025 | lanz

MEDIA SHARING

UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA SARAWAK

Nyabau Road,
97008 Bintulu, Sarawak,
Malaysia

086855201
086855888
W, (01:01:10am-01:06:10am, 18 Aug 2025)   [*LIVETIMESTAMP*]