Bintulu, 13 Februari 2025 - Naib Canselor Universiti Putra Malaysia (UPM) telah merasmikan perkhidmatan Putra Fiber hari ini bersempena Majlis Perutusan Naib Canselor Tahun 2025 di Dewan Sri Kenyalang, UPM Kampus Bintulu Sarawak.
Projek Putra Fiber yang dilaksanakan oleh Pusat Pembangunan Maklumat dan Komunikasi (IDEC), UPM melibatkan penggantian dan naik taraf peralatan rangkaian komputer di semua kolej kediaman Kampus Serdang dan Kampus Bintulu.
Projek perintis rangkaian Fiber to The Room (FTTR) berasaskan teknologi optik CWDM (Coarse Wavelength Division Multiplexing) serta teknologi WiFi-6 ini bertujuan memberikan prestasi optimum untuk menyokong permintaan data yang semakin meningkat melalui fasiliti capaian rangkaian kampus yang lebih meluas, berkelajuan tinggi dan lebih stabil. Projek perintis ini telah siap sepenuhnya di Kolej Sri Rajang, UPM Kampus Bintulu pada 29 November 2024 manakala pelaksanaan Fasa 1 di UPM Kampus Serdang dijangka siap pada penghujung Februari 2025.
Dengan nilai projek sebanyak RM1.9 juta, sebanyak 800 unit AP WiFi-6 telah dipasang di Kolej Sri Rajang, UPM Kampus Bintulu. Penggunaan teknologi dari Ruijie Networks ini menjadikan UPM sebagai Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) pertama di Malaysia dan institusi pengajian tinggi pertama di Borneo yang menggunakan teknologi CWDM sebagai infrastruktur rangkaiannya.
Perasmian ini juga membuka ruang kerjasama strategik antara UPM dan Ruijie Networks dalam usaha memperkasakan infrastruktur serta transformasi digital di UPM dan juga Negeri Sarawak.
Date of Input: 17/02/2025 |
Updated: 17/02/2025 | lanz
MEDIA SHARING