Kuching, 22 Jun 2024 - Universiti Putra Malaysia Kampus Bintulu (UPMKB) sekali lagi mencatat kejayaan cemerlang apabila pelajarnya meraih tempat ketiga dalam pertandingan pidato 'Voice of Sarawak Youths' yang berlangsung di Sarawak Islamic Information Centre, Kuching.
Muhammad Hud Aqeel Abdullah, pelajar tahun kedua Bacelor Pembangunan Manusia, Fakulti Kemanusiaan, Pengurusan dan Sains, telah berjaya menampilkan persembahan yang luar biasa, menonjolkan kemahiran pidato yang mantap serta penguasaan bahasa yang tinggi. Berkat usaha gigih dan latihan yang berterusan, beliau berjaya membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM 500 dan sijil penghargaan sebagai tanda pengiktirafan atas pencapaiannya.
Majlis penyampaian hadiah telah disempurnakan oleh Yang Berhormat Wilfred Yap Yau Sin, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Sentosa. Dalam ucapannya, YB Wilfred Yap memuji semangat dan kecekalan para peserta yang telah menunjukkan potensi besar generasi muda Sarawak dalam bidang komunikasi dan kepimpinan.
Pertandingan 'Voice of Sarawak Youths' ini bertujuan untuk mengasah bakat dan kemahiran komunikasi di kalangan belia, di samping memberikan platform kepada mereka untuk menyuarakan pandangan dan idea mereka tentang pelbagai isu semasa.
Penyertaan aktif dari institusi pendidikan seperti UPMKB jelas menunjukkan sokongan dan komitmen mereka dalam melahirkan pemimpin muda yang berketerampilan dan berwawasan. Kejayaan Muhammad Hud Aqeel ini bukan sahaja mengharumkan nama UPMKB, tetapi juga menjadi inspirasi kepada pelajar lain untuk terus berusaha mencapai kecemerlangan dalam apa jua bidang yang diceburi.
Johan dan naib johan kategori belia dirangkul oleh Esmat Danyal Es Zulkarnaen (i-CATS University College) dan Liew Hui Yee (Batu Lintang Teacher Education Institute). Program anjuran The Sarawak Initiative (TSI) itu menyaksikan 11 pemidato beraksi dalam dua kategori berbeza; junior dan belia.
Date of Input: 24/06/2024 |
Updated: 24/06/2024 | lanz
MEDIA SHARING