UPMS PACU TRANSFORMASI PENDIDIKAN TINGGI DI BORNEO | UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA SARAWAK
» NEWS » UPMS PACU TRANSFORMASI PENDIDIKAN TINGGI DI BORNEO

UPMS PACU TRANSFORMASI PENDIDIKAN TINGGI DI BORNEO

BINTULU: Universiti Putra Malaysia Sarawak (UPMS) melakar satu lagi pencapaian penting dalam transformasi pendidikan tinggi negara apabila menerima seramai 391 pelajar baharu bagi Program Diploma dan Persediaan Diploma Sains bagi Semester Pertama Sesi Akademik 2025/2026.

Kemasukan kumpulan pelajar tersebut bukan sahaja menandakan permulaan sesi akademik baharu, malah mencerminkan keyakinan masyarakat terhadap peranan strategik UPMS sebagai institusi pengajian tinggi utama di wilayah Malaysia Timur.

Menurut Pengarah UPMS, Profesor Dr. Shahrul Razid Sarbini, penjenamaan semula kampus cawangan Universiti Putra Malaysia di Bintulu kepada Universiti Putra Malaysia Sarawak telah diisytiharkan secara rasmi oleh Canselor UPM yang juga Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj pada 30 Jun lalu di Istana Alam Shah, Klang.

“Penjenamaan semula ini bukan sekadar perubahan nama, sebaliknya menandakan permulaan era baharu yang lebih progresif dan berimpak tinggi.

UPMS kini bersedia memacu agenda kecemerlangan akademik dan penyelidikan khususnya dalam bidang pertanian, perhutanan dan keterjaminan makanan,” katanya dalam majlis meraikan pelajar baharu semester pertama sesi akademik 2025/2026 baru-baru ini.

Beliau berkata, langkah berani ini seiiring dengan aspirasi kerajaan untuk memperkasa pendidikan tinggi di wilayah Borneo sekali gus mengukuhkan peranan UPMS sebagai pusat pembangunan modal insan dan inovasi serantau.

“Kami komited untuk membangunkan UPMS sebagai hab ilmu pengetahuan bertaraf antarabangsa yang menyokong pembangunan lestari dan kesejahteraan komuniti,” tambahnya.

Dalam pada itu, Prof. Dr. Shahrul Razid turut menyeru agar para pelajar menanam iltizam untuk menimba ilmu dengan penuh komitmen dan menjadikan UPMS sebagai medan mengasah kepimpinan diri.

“UPMS bukan hanya tempat menuntut ilmu tetapi wadah membentuk pemimpin masa depan.

Kami mahu pelajar-pelajar ini pulang kelak sebagai ejen perubahan kepada bangsa, negeri dan negara,” ujarnya lagi.

 

Date of Input: 23/07/2025 | Updated: 23/07/2025 | lanz

MEDIA SHARING

UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA SARAWAK

Nyabau Road,
97008 Bintulu, Sarawak,
Malaysia

086855201
086855888
W, (10:34:26pm-10:39:26pm, 17 Aug 2025)   [*LIVETIMESTAMP*]