31 OGOS TARIKH ISTIMEWA BUAT EMPAT WARGA UPM | UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA SARAWAK
» PUTRABAKTI » 31 OGOS TARIKH ISTIMEWA BUAT EMPAT WARGA UPM

31 OGOS TARIKH ISTIMEWA BUAT EMPAT WARGA UPM

Tepat 12 tengah malam ini, beberapa lokasi dinegara ini akan diterangi percikan bunga dan rakyat Malaysia melaungkan Merdeka dengan penuh bersemangat pada Sambutan Ambang Merdeka.
Namun apa yang lebih istimewa apabila tarikh 31 Ogos adalah tarikh yang sama menyambut hari kelahiran dengan tarikh bersejarah negara iaitu Hari Kebangsaan.
Bagi Pembantu Tadbir (Perkeranian/Operasi), Fakulti Veterinar Universiti Putra Malaysia (UPM), Tengku Nor Hafzan Tengku Muda, beliau bangga dan bersyukur kerana dilahirkan pada tarikh keramat ini.
Disebabkan saya lahir pada hari merdeka, ramai orang akan mengingati tarikh lahir saya dan akan meraikan bersama keluarga kerana hari itu adalah hari cuti buat semua ahli keluarga.
Setiap tanggal 31 Ogos, saya akan rasa terharu kerana mak tidak pernah lupa untuk membuat kek untuk meraikan saya bersama ahli keluarga yang lain.
Beliau berkata Malaysia tetap dekat di hati, bukan hanya kerana hari lahirnya semata-mata sebaliknya bersyukur dengan semua yang ada di negara ini.
Bagi Pembantu Tadbir (Perkeranian/Operasi), Bahagian Kemasukan dan Bahagian Urus Tadbir Akademik UPM, Mohd Kasyful Azim Abdul Wahab, mengimbau pada usianya sembilan tahun telah diraikan dalam majlis besar-besaran bersama individu lain yang dilahirkan pada 31 Ogos.
Saya rasa terharu kerana kami diraikan dengan majlis secara besar-besaran pada Program Sambutan Anak Merdeka.
Jadi, sempena Hari Kebangsaan yang ke-67 saya mengharapkan agar rakyat Malaysia untuk terus menjaga perpaduan tanpa mengira kaum, keturunan dan fahaman politik supaya kemerdekaan ini dapat dikekalkan," katanya.
Menurut Pembantu Tadbir (Perkeranian/Operasi), Institut Biosains UPM, Nurul Wahida Abd Rani, tanggal 31 Ogos ia adalah tarikh wajib untuk seisi keluarganya berkumpul meraikan ulang tahun kelahirannya.
Selain cuti menyambut kemerdekaan negara, ia juga adalah tarikh keramat menyambut ulang tahun kelahiran saya yang juga jatuh pada hari bersejarah itu.
Pastinya rasa gembira dan syukur kerana bukan semua insan terpilih dilahirkan pada 31 Ogos. Saya dapat rasakan semangat patriotisme semakin menyerlah setelah menginjak dewasa dan memahami erti sebenar sejarah perjuangan nenek moyang terdahulu.
Sementara itu, Pembantu Tadbir (Perkeranian/Operasi), Universiti Putra Malaysia Kampus Bintulu Sarawak (UPMKB), Fakurrudin Unop berkata, perasaannya bercampur baur setiap kali menyambut hari ulang tahun yang juga tarikh keramat untuk rakyat Malaysia.
Ini adalah hari istimewa, lirik dalam lagu allahyarham Datuk Sudirman, 31 Ogos, Hari yang mulia, hari bahagia, sambut dengan jiwa yang Merdeka menjelaskan perasaan saya mengenainya," ujarnya.

Date of Input: 03/09/2024 | lanz

MEDIA SHARING

UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA SARAWAK

Nyabau Road,
97008 Bintulu, Sarawak,
Malaysia

086855201
086855888
W.2025/7/4:7:39:42~noCache