PENERIMA BIASISWA KURSI TOK NAN YANG PERTAMA MENAMATKAN PENGAJIAN | UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA SARAWAK
» PUTRABAKTI » PENERIMA BIASISWA KURSI TOK NAN YANG PERTAMA MENAMATKAN PENGAJIAN

PENERIMA BIASISWA KURSI TOK NAN YANG PERTAMA MENAMATKAN PENGAJIAN

BINTULU: Bekerja sambil belajar tidak semudah yang disangkakan namun segala penat lelah itu akhirnya dapat ditempuhi Mohamad Syukri Mohamad Adnan, 38, yang berjaya meraih Ijazah Sarjana Sains (Pembangunan Manusia) selepas hampir dua tahun pengajiannya di Universiti Putra Malaysia Kampus Bintulu (UPMKB) Sarawak.

Mohamad Syukri yang berasal dari Miri berkata, segala kepayahan yang diharungi selama ini akhirnya membuahkan hasil dengan segulung ijazah yang telah diperolehi.

Tidak cukup rehat dan tidur sepanjang pengajian bagi menyiapkan tesis sememangnya tidak akan saya lupakan, bahkan masa bersama anak-anak, isteri dan semua ahli keluarga, mertua dan rakan-rakan sekerja juga terpaksa dikorbankan, katanya.

Beliau yang mempunyai tiga cahaya mata yang dinamakan Marsya, Syaqira dan Syaqir bersama isterinya Syara, menyifatkan kejayaannya itu adalah hasil bimbingan penyelianya Profesor Madya Dr Mohamad Maulana Magiman dan penolong penyelianya Semsolbahri Bukhari.

Sekalung penghargaan kepada kedua-duanya yang tidak pernah jemu dan putus asa memberi bimbingan kepada saya.

Tanpa tunjuk ajar, nasihat dan tekanan diberikan mungkin sehingga sekarang saya masih berada di takuk lama, katanya selepas menerima skrol pada Majlis Konvokesyen UPM Kali Ke-48 (Sidang 1) di Dewan Sri Kenyalang UPMKB pada hujung minggu lepas.

Mohamad Syukri berkata, kata-kata hikmat bukan senang nak senang, bukan susah nak susah, menjadi pegangannya selama ini.

Saya percaya dan yakin untuk mencapai sesuatu kejayaan dan impian, ia menuntut satu pengorbanan yang bukan mudah untuk direalisasikan namun tiada apa yang mustahil, ujarnya.

Katanya, semua boleh dicapai sekiranya kita bulat hati dan jelas dengan tujuan atau matlamat, percaya dan yakin dengan tekad serta semangat yang kental akan menjadikan segala impian itu realiti.

Apa yang penting kita perlu kekal fokus dan berpegang teguh pada matlamat.

Cari sumber inspirasi untuk terus kuat pada saat lemah dan seterusnya menjadi pemangkin semangat untuk terus bangkit, katanya.

Pada masa sama katanya, jangan mudah menyerah kepada keadaan kerana kita sering dikelilingi oleh sistem sokongan yang kuat walaupun kadang-kadang tidak disedari.

Katanya, sememangnya kejayaan tidak datang dalam sekelip mata tetapi dengan doa, ketekunan, rasa syukur, niat yang ikhlas dan kesediaan menerima pandangan orang lain akan mampu untuk kita berkembang menjadi insan yang lebih baik.

Bagi saya sendiri, belajar sambil bekerja tidaklah semudah yang disangka.

Tanggungjawab dan amanah yang telah diberikan oleh pihak pengurusan UPMKB tidak seharusnya dipandang enteng kerana di sinilah punca rezeki saya.

Apa pun halangan dan cabaran, tugasan yang telah diamanahkan perlu dilaksanakan dengan sebaiknya serta dalam masa sama saya juga mempunyai impian dan cita-cita sendiri, katanya.

Menurutnya, impian untuk mengenakan topi segi empat sememangnya sesuatu yang diinginkan sejak dari kecil.

Dengan persekitaran pekerjaan yang dikelilingi ilmuwan dan golongan penyelidik, menyebabkan saya berasa tidak puas dengan Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Korporat yang diraih sebelum ini daripada UiTM Shah Alam, katanya.

Katanya, ini menjadi faktor beliau mengambil keputusan untuk melanjutkan pengajian sehingga ke peringkat ijazah sarjana dan alhamdulillah, niat yang terpendam selama ini terbuka luas dengan adanya tawaran Biasiswa Kursi Tok Nan yang diperolehinya.

Sesungguhnya biasiswa daripada Kerajaan Sarawak melalui Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak ini benar-benar membuka ruang kepada saya untuk mengembangkan potensi diri dan seterusnya meningkatkan tahap pendidikan, katanya.

Jelasnya, biasiswa yang diperolehi itu tidak disia-siakan, dengan mengerah tenaga yang tersisa untuk menyelesaikan pengajian akhirnya beliau amat berbangga apabila berjaya menjadi pelajar pascasiswazah meraih Ijazah Sarjana Pembangunan Manusia.

Tiga penerima Biasiswa Kursi Tok Nan yang lain pula ialah Benedick Adam Jawan, Farhana Nazwa Fakurrudin dan Zetty Azreen Zaini sebagai para penuntut yang meraih Diploma Pembangunan Manusia.

Date of Input: 17/01/2025 | Updated: 17/01/2025 | lanz

MEDIA SHARING

UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA SARAWAK

Nyabau Road,
97008 Bintulu, Sarawak,
Malaysia

086855201
086855888
W.2025/7/4:8:26:45~noCache