BINTULU: Program penanaman semula pokok memberi impak positif terhadap alam sekitar dan demi kelestarian hutan, kata Timbalan Residen Bahagian Bintulu Abang Zainuddin Abang Turkey.
Beliau berkata, program penanaman pokok juga merupakan satu usaha jangka masa panjang ke arah pemeliharaan serta pemuliharaan hutan di negeri ini, khususnya Bintulu.
Katanya, Bintulu merupakan sebuah bahagian yang pesat membangun dalam sektor perindustrian yang mana banyak kawasan baharu diterokai.
Penanaman semula pokok amat penting bagi memastikan pembangunan seimbang dengan kehijauan hutan dan alam sekitar untuk memastikan pembangunan dilaksanakan tidak mengabaikan alam sekitar, katanya pada Program Penanaman Pokok dan Kitar Semula E-Sisa di Balai Raya Rancangan Perumahan Rakyat (RPR) Kidurong di sini, hari ini.
Menurutnya, program terbabit yang dijalankan secara kolaboratif antara Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA), Syarikat PTTEP, Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar (NREB), Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Jabatan Sains Perhutanan, Fakulti Sains Pertanian dan Perhutanan Universiti Putra Malaysia Bintulu kampus (UPMKB) merupakan langkah bijak bagi merealisasikannya.
Beliau berkata, perkongsian seperti ini membolehkan usaha pemuliharaan hutan dijalankan secara konsisten kerana mendapat kerjasama padu daripada semua pihak.
Program bertemakan Nourish Nature Nurture Future ini mendapat kerjasama Pejabat Residen Bahagian Bintulu yang memainkan peranan penting memupuk komuniti mapan dan berkembang maju.
Melalui kerjasama dengan syarikat-syarikat korporat seperti PTTEP termasuk pelbagai agensi kerajaan mampu menjayakan program penanaman semula pokok dengan lebih progresif dan berjaya pada masa hadapan, jelasnya.
Abang Zainuddin berkata, BDA akan terus menyokong apa sahaja program berkaitan pemuliharaan alam sekitar di bahagian ini sekali gus menjadi contoh kepada bahagian lain di negeri ini.
Date of Input: 02/07/2024 | lanz
Nyabau Road,
97008 Bintulu, Sarawak,
Malaysia
Nyabau Road,
97008 Bintulu, Sarawak,
Malaysia