BINTULU: Sebanyak 185 kilogram (kg) sampah berjaya dikumpul dari lapan kampung di Jepak oleh 150 peserta yang terlibat dalam Program Putra Brisk Walk Plogging baru-baru ini.
Program julung kali anjuran Sekretariat Kelestarian Hijau dan Keterjaminan Makanan Majlis Perwakilan Kolej Sesi 2024/2025 Universiti Putra Malaysia Kampus Bintulu (UPMKB) itu dilancarkan di Kampung Sebuan dengan disertai 80 pelajar dan staf Kolej Sri Rajang UPMKB serta penduduk kampung di Jepak.
Perasmiannya disempurnakan kakitangan Pusat Khidmat Rakyat N.67 Jepak yang juga Setiausaha Flora Morni mewakili Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jepak Iskandar Turkee.
Flora berkata, aktiviti ini dapat membentuk sikap tanggungjawab dalam kalangan generasi muda serta menggalakkan lebih banyak inisiatif komuniti yang berorientasikan kebersihan dan kesihatan.
Aktiviti ini bukan sahaja mampu menjadi rutin bahkan memupuk komuniti agar sentiasa menekankan kepentingan menjaga kebersihan dan gaya hidup sihat di kawasan tempat tinggal masing-masing, ujarnya berucap pada program itu.
Katanya, program itu sangat dialu-alukan penganjurannya dengan penyertaan lebih ramai penduduk pada masa akan datang sekali gus menjadikan aktiviti plogging sebagai kebiasaan dalam kehidupan seharian.
Penghulu kampung kawasan Jepak Idil Ismail berkata, program ini akan dijadikan sebagai aktiviti tahunan dalam kalendar Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK).
Katanya, lebih banyak program kesukarelawanan seperti ini diadakan pada masa akan datang disifatkan sebagai aktiviti positif untuk memupuk dan membudayakan amalan menjaga kebersihan di kawasan kampung-kampung.
Program ini bukan sahaja mempromosikan gaya hidup sihat bahkan menjadikan aktiviti menjaga kebersihan alam sekitar sebagai amalam sihat melalui brisk walk plogging iaitu gabungan berjoging dan mengutip sampah.
Sebanyak lapan kampung di Jepak terlibat dan memberikan sokongan terhadap program itu terdiri Kampung Sebuan Besar, Kampung Sebuan Kecil, Kampung Jepak Hilir, Kampung Jepak Tengah, Kampung Jepak Hulu, Kampung Sungai Sebuan Kecil, Kampung Warisan Jepak dan Kampung Baru Sebuan Besar.
Para peserta yang terlibat program dibahagikan kepada beberapa kumpulan dan zon masing-masing yang menumpu kepada kerja-kerja mengutip sampah dan pembersihan di kawasan kampung terbabit.
Date of Input: 24/02/2025 | lanz
Nyabau Road,
97008 Bintulu, Sarawak,
Malaysia
Nyabau Road,
97008 Bintulu, Sarawak,
Malaysia