BINTULU, 3 Mei 2025 – Klinik Veterinar Universiti Putra Malaysia Kampus Bintulu (UPMKB) telah berjaya menganjurkan program kesihatan haiwan bertemakan SNIP 4 LIFE & END RABIES sempena sambutan Hari Veterinar Sedunia 2025 yang berlangsung dari 28 April hingga 3 Mei 2025.
Program ini memberi tumpuan kepada dua inisiatif utama, iaitu Spay Neuter Initiative Program (SNIP) yang menekankan kepentingan kawalan populasi haiwan peliharaan menerusi kaedah pemandulan, dan End Rabies yang menyasarkan pemvaksinan haiwan terhadap penyakit rabies.
Sepanjang tempoh enam hari program, sebanyak 50 ekor kucing telah berjaya dimandulkan menerusi program SNIP, hasil kerjasama antara kakitangan klinik dan sukarelawan dari pelajar Diploma Kesihatan Haiwan dan Peternakan (DKHP) di bawah Jabatan Sains Haiwan dan Perikanan, Fakulti Sains Pertanian dan Perhutanan UPMKB sebagai. Inisiatif ini bertujuan untuk mengurangkan bilangan haiwan jalanan serta menggalakkan pemilikan haiwan peliharaan yang bertanggungjawab.
Program ini diakhiri dengan kempen vaksinasi rabies END RABIES pada 3 Mei 2025 yang dilaksanakan dengan kerjasama Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Bintulu, di mana sebanyak 80 ekor kucing dan 14 ekor anjing telah menerima suntikan vaksin sebagai langkah pencegahan awal terhadap jangkitan penyakit rabies yang boleh membawa maut.
Pegawai Veterinar Klinik Veterinar UPMKB, Dr Siti Nurhani binti Arib menyatakan bahawa sambutan yang diterima amat menggalakkan, mencerminkan tahap kesedaran masyarakat yang semakin tinggi terhadap penjagaan kesihatan haiwan dan isu zoonotik.
Selaras dengan tema Animal Health Takes a Team, program ini juga mendukung objektif global Hari Veterinar Sedunia yang menyasarkan pemerkasaan peranan doktor haiwan dalam penjagaan kesihatan awam dan haiwan di seluruh dunia. Klinik Veterinar UPMKB merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang telah menjayakan program ini dan berharap usaha seumpama ini dapat diteruskan secara berterusan pada masa akan datang.
Vaksin Rabies dan vaksin asas untuk anjing dan kucing ini juga boleh didapati di Klinik Veterinar UPMKB pada waktu operasi biasa Isnin-Jumaat 8.30 pagi- 4.30 petang. Manakala, vaksin Anti-Rabies percuma bagi anjing juga boleh didapatkan di pejabat Jabatan Perkhidmatan Veterinar Bahagian Bintulu.
Date of Input: 15/05/2025 | lanz
Nyabau Road,
97008 Bintulu, Sarawak,
Malaysia
Nyabau Road,
97008 Bintulu, Sarawak,
Malaysia