SEMARAK BELIA SARAWAK 2025 BAKAL TIBA | UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA SARAWAK
» PUTRABAKTI » SEMARAK BELIA SARAWAK 2025 BAKAL TIBA

SEMARAK BELIA SARAWAK 2025 BAKAL TIBA

Universiti Putra Malaysia Kampus Bintulu Sarawak (UPMKB) sebelum ini telah mengadakan kunjungan hormat bersama YB Dato Seri Haji Abdul Karim Rahman Hamzah, Menteri Pelancongan, Industri Kreatif & Seni Persembahan Sarawak (MTCP) dan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak (MYSED) bertempat di pejabat rasmi beliau. UPMKB yang diwakili oleh Mohamad Syukri Mohamad Adnan dan Veronica Edmund Dana telah membentangkan cadangan bagi penganjuran program Semarak Belia Sarawak 2025 yang terdiri daripada 2 aktiviti utama iaitu Festival Kesenian Islam 2025 (iFest2025) dan juga Festival Tari Nusantara 2025.

Menurut Mohamad Syukri Mohamad Adnan yang merupakan Pengerusi bagi kedua-dua aktiviti berkenaan berkata, iFest2025 ini merupakan penganjuran bagi edisi yang ke-3 dan dijadual diadakan pada 18-23 Ogos 2025. Pelbagai pengisian berbentuk pertandingan seperti Tilawah Al-Quran, Syarahan Agama, Bercerita, Memanah, Menulis Khat, Memanah dan Nasyid akan diadakan. Selain itu beberapa pengisian yang berbentuk bukan pertandingan seperti Solat dan Tazkirah Dhuha, Pameran Kesenian Islam dan Forum Perdana akan turut diadakan. Aktiviti ini adalah terbuka kepada semua masyarakat umum malah dijangka akan turut disertai oleh peserta dari luar negara.

Bagi penganjuran Festival Tari Nusantara 2025 pula, ianya merupakan satu aktiviti yang memfokuskan kepada pertandingan tarian kreatif etnik selain daripada pengisian aktiviti lain seperti showcase, bengkel tarian, lawatan ke tenpat bersejarah, program khidmat komuniti dan silang budaya. Menurut Veronica Edmund Dana, yang merupakan Pengarah bagi aktiviti berkenaan berkata, UPMKB telah dilantik oleh Majlis Kebudayaan Universiti-Universiti Malaysia (MAKUM) sebagai tuan rumah dan penganjur bagi program berkenaan yang dijadual dilaksanakan pada 20-28 September 2025 dan penyertaannya adalah secara jemputan.

Sasaran bagi penyertaan pada kali ini adalah 20 buah universiti awam yang ada di Malaysia selain universiti jemputan dari Brunei, Indonesia, Singapura, Thailand dan Filipina. Namun, semua masyarakat adalah dijemput hadir untuk sama-sama menyaksikan pertandingan berprestij ini, ujar beliau.

Program ini bukan sahaja dilihat dapat memberi impak positif kepada masyarakat keseluruhannya malah mampu meningkatkan ekonomi Sarawak secara amnya, ujar Prof. Dr. Shahrul Razid Sarbini, Pengarah Kampus, UPMKB. Beliau turut menambah jalinan kerjasama yang diberikan oleh pihak MTCP & MYSED ini sangat besar maknanya bagi pihak UPMKB. Di kesempatan ini saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada pihak kementerian terutamanya kepada YB Dato Seri Haji Abdul Karim Rahman Hamzah atas kepercayaan yang diberikan kepada UPMKB bagi menganjurkan Program Semarak Belia Sarawak 2025 pada kali ini.

Dengan sokongan kewangan yang diperoleh daripada pihak kementerian melebihi RM500,000.00 bagi penganjuran kedua-dua aktiviti berkenaan pada kali ini, kita yakin dan pasti dapat melaksanakan program ini dengan jayanya dan diharap dapat mencapai objektif penganjurannya, ujar Mohamad Syukri Mohamad Adnan. Maklumat lanjut berhubung perkara ini boleb didapati melalui laman web rasmi UPMKB https://btu.upm.edu.my/atau lawati media sosial rasmi UPMKB.

Date of Input: 19/03/2025 | lanz

MEDIA SHARING

UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA SARAWAK

Nyabau Road,
97008 Bintulu, Sarawak,
Malaysia

086855201
086855888
W.2025/7/4:12:37:35~noCache