UPMKB TERUS REALISASIKAN JENAMA PERTANIAN UNTUK RAKYAT, ANJUR KURSUS UNTUK KOMUNITI | UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA SARAWAK
» PUTRABAKTI » UPMKB TERUS REALISASIKAN JENAMA PERTANIAN UNTUK RAKYAT, ANJUR KURSUS UNTUK KOMUNITI

UPMKB TERUS REALISASIKAN JENAMA PERTANIAN UNTUK RAKYAT, ANJUR KURSUS UNTUK KOMUNITI

Selari dengan jenama Pertanian untuk Rakyat (PUTRA)danmottoBerilmu Berbakti, pihak Universiti Putra Malaysia Kampus Bintulu Sarawak (UPMKB) sekali lagi mengambil inisiatif menganjur kursus yang akan meningkatkan ilmu untuk memperkasa bidang pertanian.
Menurut Timbalan Pengarah PPP UPMKB Prof Madya Dr Amy Halimah Rajaee, usaha UPMKB memperkasakan bidang pertanian juga adalah selaras dengan langkah untuk menangani isu krisis sekuriti makanan negara.
Beliau berterima kasih kepada Pengarah Kampus UPMKB yang sentiasa memberi sokongan kepada PPP dalam menganjurkan kursus untuk komuniti dan industri setempat.
Sementara itu, kali ini Pusat Pertanian Putra (PPP) UPMKB menganjurkan Kursus Pengurusan Penternakan Ayam yang diadakan khas untuk ahli Persatuan Komuniti Pertanian dan Penternakan Kuching Sarawak (PEKOMTA) atas permohonan mereka pada 22 September lepas.
Kursus yang secara khusus bertujuan meningkatkan pengetahuan ilmu penternakan kepada komuniti setempat ini disertai 32 peserta dari pelbagai bahagian di Sarawak iaitu Bintulu, Kuching, Sibu, Sri Aman, Sarikei, Debak dan Miri.
Menurut penyelaras dan penceramah kursus Ts Dr Carlina Freddie Simol @ Rachellynna, objektif penganjuran kursus ini adalah untuk memberi pendedahan kepada peserta yang ingin menternak ayam dari segi keperluan umum, penyediaan reban, pengurusan dan penyelenggaraan harian sehingga penuaian.
Turut dikongsikan ialah ilmu pengetahuan tentang pengurusan kesihatan ayam, penyediaan dan penghasilan makanan untuk ayam serta penyelesaian kepada masalah yang sering dihadapi oleh penternak ayam.
Peserta turut diberi tunjuk ajar melalui sesi amali berkaitan cara-cara pemilihan telur untuk penetasan, pemotongan paruh ayam serta cara-cara pemberian vaksin kepada ayam ternakan. Sesi amali ini dibantu oleh staf PPP UPMKB iaitu Jega Jantai dan Yusri Drahman.
Salah seorang peserta menzahirkan ucapan terima kasih kepada pihak PEKOMTA yang telah menjemput mereka untuk turut sama menyertai kursus penternakan ayam yang cukup bermakna ini dengan harapan akan menjadi usahawan agropreneurs penternak ayam yang maju.
Tambah beliau lagi, dengan bimbingan daripada penceramah yang hebat serta staf PPP UPMKB yang berpengalaman, ia dapat membuka minda mereka yang tidak mempunyai pengetahuan secara teori sebelum ini.

Date of Input: 13/01/2025 | lanz

MEDIA SHARING

UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA SARAWAK

Nyabau Road,
97008 Bintulu, Sarawak,
Malaysia

086855201
086855888
W.2025/7/4:12:46:43~noCache