DARI BINTULU KE BANDUNG: UPMS BANTU PERKUKUH HOSPITALITI PELBAGAI BAHASA DESA WISATA INDONESIA MELALUI KOLABORASI ANTARABANGSA | UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA SARAWAK sarawak
» ARTICLE » DARI BINTULU KE BANDUNG: UPMS BANTU PERKUKUH HOSPITALITI PELBAGAI BAHASA DESA WISATA INDONESIA MELALUI KOLABORASI ANTARABANGSA

DARI BINTULU KE BANDUNG: UPMS BANTU PERKUKUH HOSPITALITI PELBAGAI BAHASA DESA WISATA INDONESIA MELALUI KOLABORASI ANTARABANGSA

BANDUNG, INDONESIA – Universiti Putra Malaysia Sarawak (UPMS) terus memperkukuh peranan dalam pengantarabangsaan dan pembangunan komuniti serantau melalui penglibatan Dr. Sharon Ong Yong Yee dalam program akademik dan komuniti antarabangsa anjuran Universitas Padjadjaran (UNPAD), Indonesia.
 
Penglibatan selama enam hari bermula 6 hingga 11 Mei 2026 itu merangkumi program Studium Generale, syarahan jemputan, penglibatan pelajar antarabangsa serta International Community Development Program di Desa Wisata Lebak Muncang, Ciwidey, Bandung.
 
Dalam Studium Generale 2026 bertemakan “Cultural Industries as a Catalyst for Global Entrepreneurship: Chinese and Southeast Asian Perspectives”, Dr. Sharon telah diundang sebagai pengucaptama bersama Prof. Xiang Yong dari Peking University, China. Melalui perkongsian bertajuk “Entrepreneurship in Southeast Asia: Leveraging Cultural Diversity in Global Markets”, beliau menekankan kepentingan kepelbagaian budaya sebagai kekuatan strategik dalam membangunkan keusahawanan dan ekonomi kreatif serantau.
 
Selain penglibatan akademik, delegasi antarabangsa turut menyertai International Community Development Program bertajuk “From Local Charm to Global Service: Multilingual Hospitality for Eco-Tourism in Lebak Muncang Village, Ciwidey” yang memberi fokus kepada pembangunan hospitaliti pelbagai bahasa bagi komuniti desa wisata.
 
Program tersebut melibatkan 33 pemandu pelancong komuniti dan memberi fokus kepada cabaran sebenar yang dihadapi komuniti tempatan dalam menerima pelancong antarabangsa, termasuk isu komunikasi bahasa, perbezaan budaya, standard hospitaliti dan pemasaran produk tempatan.
 
Melalui kolaborasi bersama Universitas Padjadjaran, Peking University dan Universitas Brawijaya, pihak UPMS turut terlibat dalam pembangunan modul hospitaliti pelbagai bahasa dalam Bahasa Inggeris dan Mandarin bagi membantu komuniti pelancongan setempat meningkatkan pengalaman pelancong antarabangsa serta memperkukuh potensi eco-tourism desa.
 
Dr. Sharon turut berkongsi cadangan praktikal termasuk penggunaan aplikasi penterjemah berasaskan gajet bagi membantu mengatasi cabaran komunikasi antara komuniti tempatan dan pelancong asing.
 
Program ini turut melibatkan pelajar UPMS, Priyeshakti A/P Thiagarajan, sebagai sukarelawan antarabangsa. Beliau telah berkongsi refleksi yang menyentuh pengalaman pembelajaran rentas budaya, cabaran komunikasi serta kepentingan kemahiran komunikasi antarabangsa dalam dunia perniagaan global.
 
Penglibatan ini bukan sahaja memperkukuh jaringan antarabangsa UPMS, malah menyokong agenda pembangunan mampan melalui pendidikan berkualiti, pembangunan komuniti dan kerjasama global selaras dengan Sustainable Development Goals (SDG) 4, SDG 8, SDG 11 dan SDG 17.
 
Dr. Sharon turut merakamkan penghargaan kepada pihak Universitas Padjadjaran, khususnya Dr. Nurillah Jamil Achmawati Novel selaku ketua projek dan pegawai perhubungan program, atas layanan mesra, koordinasi yang sangat baik serta komitmen dalam menjayakan keseluruhan program.
 
 
 
 
 
 
 
 

 

Date of Input: 20/05/2026 | Updated: 20/05/2026 | lanz

MEDIA SHARING

UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA SARAWAK

Nyabau Road,
97008 Bintulu, Sarawak,
Malaysia

086855205
-
X, (05:16:04pm-05:21:04pm, 11 Oct 2026)   [*LIVETIMESTAMP*]