Kepadatan tanah menggambarkan keadaan zarah-zarah tanah merangkumi komposisi pasir, kelodak, dan liat dimampatkan secara semula jadi atau melibatkan faktor-faktor lain seperti penggunaan jentera, pergerakkan haiwan ruminan (contohnya lembu), aktiviti pertanian intensif, dan sebagainya. Keadaan ini mengurangkan kapasiti ruang liang tanah yang berfungsi sebagai medium pengaliran air, udara, dan pergerakkan organisma di samping mempengaruhi pertumbuhan akar tanaman. Ancaman kepadatan tanah boleh menyebabkan kadar penyusupan air dan telapan udara berkurang, akhirnya mempengaruhi sifat kimia tanah (pH tanah, kapasiti pertukaran ion, bahan organik, dan sebagainya), pertumbuhan tanaman, dan biodiversiti tanah. Penggunaan jentera pertanian moden untuk pengurusan tanaman seperti traktor untuk membajak tanah, membuat lubang serta batas, dan jentera penuai adalah penyumbang utama kepada kepadatan tanah. Aktiviti penanaman dari keluarga umbisi turut mempengaruhi kepadatan tanah terutama pada musim menuai, iaitu proses menggali tanah secara intensif untuk mengutip hasil (halia, kunyit, dan sebagainya). Selain itu, pergerakkan haiwan ruminan di kawasan padang ragut turut menyumbang kepada kepadatan tanah.
Zarah tanah yang mengikat membentuk agregat yang stabil. Agregat ini penting kerana membantu laluan nutrien, udara, dan air yang diperlukan oleh tanaman. Pemecahan agregat tanah secara langsung melalui aktiviti pembajakkan menggunakan jentera atau alatan ladang akan meningkatkan kepadatan tanah dan mempengaruhi fasa pertumbuhan tanaman. Ini akan meningkatkan nilai petunjuk ketumpatan pukal yang sering digunakan oleh penyelidik untuk menentukan keadaan tanah tersebut. Semakin tinggi bacaan ketumpatan pukal (>1.8 g cm-3), semakin serius masalah kepadatan tanah untuk kegunaan pertanian. Keadaan ini akan menganggu pertumbuhan tanaman, terutama bahagian akar yang bertanggungjawab menyerap nutrien dan air dari dalam tanah. Kepadatan tanah akan menghalang pertumbuhan struktur akar yang penting iaitu akar sekunder dan tertier. Akhirnya, kekurangan nutrien secara serius terjadi dan memberi kesan di bahagian daun tanaman seperti kekuningan, pembentukkan kekuningan dengan simbol “V”, dan sebagainya. Ini akan menghalang pertumbuhan optimum tanaman, pengeluaran hasil, dan meningkatkan kos pengurusan seperti pemberian baja berulang kali.
Kawalan kepadatan tanah boleh dilakukan secara berperingkat mengikut keadaan dan kesesuaian ladang. Salah satu kawalan yang boleh dilakukan adalah mengawal penggunaan jentera pertanian dengan menyediakan laluan khas tanpa menganggu kawasan tanaman. Kawalan ini boleh dilakukan untuk ladang yang menanam tanaman seperti jagung dan buah-buahan. Kawalan seterusnya adalah mengelakkan aktiviti pertanian ketika hujan kerana tanah yang lembut lebih mudah dimampatkan. Aktiviti pertanian amat disarankan semasa keadaan tanah kering terutama bagi kawasan tinggi kandungan liat. Selain itu, petani digalakkan untuk melakukan proses penyediaan tanah selepas penuaian untuk persediaan penanam musim baharu secara minimum. Ini kerana aktiviti penyediaan tanah secara intensif akan memberi tekanan dan memecahkan agregat tanah secara berlebihan. Kestabilkan agregat tanah juga terganggu oleh proses tersebut kerana berlakunya kehilangan bahan organik. Meminimumkan penyediaan tanah mampu meningkatkan kandungan bahan organik daripada residu tanaman sebelumnya dan melindungi permukaan tanah daripada hakisan terutama semasa musim hujan.
Amalan meletakkan semula sisa tanaman akan menggalakkan struktur tanah yang baik dan mengurangkan ketumpatan pukal tanah/kepadatan tanah melalui pembentukkan agregat tanah. Pembentukkan ini akan memegang tanah dengan kuat untuk mengelakkan kejadian tanah rekah dan juga sebagai sumber nutrien tambahan kepada tanaman (nitrogen, fosforus, dan sebagainya). Selain itu, memberi bahan organik secara langsung kepada tanah daripada sumber tinja haiwan juga adalah alternatif terbaik untuk mengelakkan kepadatan tanah. Kaedah seterusnya adalah melakukan pusingan tanaman dengan pelbagai jenis tanaman. Salah satunya adalah daripada tanaman saka untuk mengurangkan gangguan pada tanah. Disamping itu, pertumbuhan akar yang lebih dalam oleh tanaman saka dapat membantu tanah lebih berliang.
Pengurusan kepadatan tanah amat penting dalam pertanian untuk memastikan tanaman dapat tumbuh dengan subur dan mengeluarkan hasil yang maksimum. Langkah-langkah seperti mengurangkan atau menghadkan penggunaan jentera setempat dan mengekalkan bahan organik tanah seperti meninggalkan sisa tanaman selepas tuaian amatlah disarankan. Ini kerana kandungan nutrein tersedia selepas proses penguraian akan mengalakkan pertumbuhan tanaman pada musim seterusnya. Merancang aktiviti ladang mengikut cuaca juga digalakkan untuk mengelakkan kepadatan tanah semasa musim hujan.
Artikel ini ditulis oleh Dr. Izzah Abd Hamid dan Pensyarah Kanan, Jabatan Sains Tanaman, Universiti Putra Malaysia Kampus Bintulu Sarawak, Dr. Wan Asrina Wan Yahaya. Sebarang pertanyaan boleh diajukan melalui email ke izzahabdhamid@gmail.com dan asrina@upm.edu.my.
Foto 1: Pengambilan sampel tanah menggunakan blok silinder untuk mengira ketumpatan pukal sesuatu kawasan
Foto 2: Agregat tanah yang baik mempengaruhi pertumbuhan akar sekunder dan tertier
Foto 3: Ketulan-ketulan tanah yang dipanggil agregat tanah. Mengandungi komposisi pasir, kelodak, dan liat
Foto 4: Jentera pertanian yang sering digunakan oleh petani berskala sederhana untuk memudahkan kerja-kerja di ladang antara penyumbang kepada kepadatan tanah
Tarikh Input: 16/05/2025 | Kemaskini: 16/05/2025 | lanz
Jalan Nyabau,
97008 Bintulu, Sarawak,
Malaysia
Jalan Nyabau,
97008 Bintulu, Sarawak,
Malaysia