MURUM DIJADIKAN MODEL PEMBANGUNAN LUAR BANDAR BERASASKAN KELESTARIAN | UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA SARAWAK
» ARTIKEL » MURUM DIJADIKAN MODEL PEMBANGUNAN LUAR BANDAR BERASASKAN KELESTARIAN

MURUM DIJADIKAN MODEL PEMBANGUNAN LUAR BANDAR BERASASKAN KELESTARIAN


BELAGA, 2 Okt (Khamis) – DUN Murum kini muncul sebagai model pembangunan luar bandar berasaskan kelestarian apabila wakil rakyatnya, YB Kennedy Chukpai Ugon, menegaskan komitmen terhadap pembangunan menyeluruh yang mengimbangi kemajuan ekonomi, kelestarian alam dan warisan budaya.
 
Berucap pada iRandau 2025: International Symposium of Social Sciences, Management, Science & Technology anjuran Universiti Putra Malaysia Kampus Sarawak (UPMKB) di Dewan Uma Kulit, Sungai Asap pada Rabu, Kennedy menekankan bahawa visi pembangunan Murum bukan hanya bersifat fizikal, tetapi berakar pada empat teras utama: kepercayaan dan integriti, pendidikan, pemerkasaan ekonomi sosial, serta pendigitalan.
 
“Murum bukan sekadar kawasan pedalaman. Ia simbol perpaduan antara tradisi dan kemodenan – di mana pengorbanan masa lalu menjadi asas kemajuan hari ini,” katanya.
 
Beliau menjelaskan bahawa pembangunan infrastruktur asas seperti jalan, elektrik dan air bersih kini telah mengubah kehidupan masyarakat di kawasan pedalaman, manakala peluang pendidikan dan TVET semakin memperkasa generasi muda untuk kembali berbakti sebagai tenaga profesional.
 
Dalam bidang ekonomi, Kennedy menekankan peralihan masyarakat ke arah pertanian moden, keusahawanan desa, dan ekonomi koperasi, disokong oleh capaian internet berkelajuan tinggi yang bakal menjadikan Sungai Asap sebagai Digital Village pertama di pedalaman Sarawak.
 
“Kita telah menutup banyak jurang – dalam pendidikan, kesihatan dan peluang pekerjaan. Tetapi perjalanan ini masih panjang. Murum akan terus menjadi makmal hidup untuk merealisasikan PCDS 2030 dan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG),” tegas beliau.
 
Beliau turut menggariskan hasrat menjadikan Murum sebagai hab industri hijau berasaskan tenaga boleh diperbaharui serta destinasi pelancongan bio-budaya, di mana festival sukuan seperti Pesta Do Ledoh dan Pesta Tapok Adet Penan akan diangkat ke peringkat antarabangsa.
 
Dalam seruannya, Kennedy mengajak para penyelidik, pelabur dan pembuat dasar untuk menjadikan Murum sebagai rakan strategik dalam membina masa depan lestari.
 
“Masa depan Murum akan didefinisikan oleh kelestarian. Kita ingin membina jambatan kebijaksanaan, kemakmuran, dan legasi – agar generasi akan datang berterima kasih atas keputusan yang kita buat hari ini,” katanya menutup ucapan.
 
Simposium itu turut menghimpunkan barisan ilmuwan, pemimpin masyarakat dan golongan belia bagi merangka hala tuju pembangunan sosial serta ekonomi luar bandar Sarawak.
 
Antara yang hadir termasuk Felo Akademi Sains Malaysia, Prof Datuk Dr Jayum Jawan, Pegawai Pejabat Daerah Kecil Sungai Asap, Sylvester George, Timbalan Dekan Fakulti Sains Kemasyarakatan dan Pembangunan (FKPS) UPM Sarawak, Dr Shairilizwan Taasim, serta Pemanca Tony Kulleh. — SF

Tarikh Input: 08/10/2025 | Kemaskini: 08/10/2025 | lanz

PERKONGSIAN MEDIA

UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA SARAWAK

Jalan Nyabau,
97008 Bintulu, Sarawak,
Malaysia

086855201
086855888
W, (02:49:46am-02:54:46am, 13 Oct 2025)   [*LIVETIMESTAMP*]