BINTULU, 15 Ogos 2025 – Universiti Putra Malaysia Sarawak (UPMS) melalui Fakulti Sains Pertanian dan Perhutanan telah menganjurkan satu ceramah bertajuk “Agriculture Malaysia 2050” yang disampaikan oleh teknokrat pertanian negara, Dr. Md Yusof Husin, Ketua Pegawai Eksekutif Hexagon Green Sdn. Bhd dan Hexagon Green Biotech Sdn. Bhd.
Acara bermula dengan majlis perasmian oleh Prof. Madya Dr. Noorasmah Binti Saupi, Dekan Fakulti Sains Pertanian dan Perhutanan dan diikuti dengan pengenalan kepada penceramah oleh Prof. Madya Dr. Zakry Fitri Bin Ab. Aziz.
Dr. Md. Yusof Husin merupakan seorang tokoh pertanian yang berpengalaman luas. Beliau pernah berkhidmat sebagai Dekan Fakulti Pertanian UPM (Kampus Serdang) serta Provos Universiti Putra Malaysia Kampus Bintulu (UPMKB). Selain itu, beliau pernah menjadi Profesor Pelawat di England, Jepun, Australia, Kenya dan Amerika Syarikat.
Beliau juga pernah menerajui pelbagai pertubuhan profesional antaranya Malaysian Plant Protection Society, Entomological Society of Malaysia, dan Asian Association of Agricultural Colleges and Universities. Dari segi kelayakan akademik, beliau memiliki Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dari Australia, Ijazah Sarjana Muda dan Ijazah Sarjana dari Amerika Syarikat serta Diploma Pertanian dari Universiti Malaya.
Kini, beliau mengetuai High Value Farming Group (HVFG) yang ditubuhkan pada tahun 2018 bagi memperkasa sektor pertanian bernilai tinggi. Ceramah umum bertajuk “Agriculture Malaysia 2050” yang disampaikan oleh Dr. Md Yusof Husin menekankan transformasi besar yang perlu dilakukan dalam sektor pertanian negara.
Menurut beliau, perubahan iklim bakal mengubah landskap tanaman dunia. Teknologi moden seperti robot pertanian, aeroponik, daging makmal dan protein alternatif dijangka memainkan peranan penting dalam keterjaminan makanan. Justeru, beliau memperkenalkan konsep High Value Farming (HVF) yang berpotensi menjana sehingga RM1 juta sehektar dalam tempoh 10 tahun melalui tanaman bernilai tinggi seperti durian, kelapa, nanas, halia, vanila, strawberi, mangga, orkid, pisang dan buah tin.
Ia memberi peluang kepada petani untuk mengubah tanah mereka menjadi aset berharga dengan bantuan teknologi pertanian canggih, teknik penanaman pintar dan inovasi produk. Melalui penambahan nilai, hasil pertanian bukan sahaja lebih berkualiti tetapi juga mampu dijual pada harga lebih tinggi.
Sistem pengedaran dan pemasaran yang tersusun turut memastikan petani mendapat pulangan lumayan. Konsep ini diyakini mampu menutup jurang pendapatan serta menjadikan sektor pertanian lebih kompetitif, mampan dan menarik minat generasi muda. Selain itu, Dr Md. Yusof Husin menyeru agar pertanian digital, integrasi tanaman-ternakan, serta penglibatan generasi muda direalisasikan.
Ceramah ini bukan sahaja membuka mata warga akademik dan masyarakat terhadap cabaran serta peluang dalam sektor pertanian, malah menekankan kepentingan beralih daripada amalan lama kepada pertanian pintar dan bernilai tinggi.
Dengan visi menjadikan Malaysia peneraju pertanian moden menjelang 2050, Dr. Md Yusof Husin menyeru agar semua pihak bersama-sama berganding bahu dalam merealisasikan aspirasi tersebut.
Tarikh Input: 26/08/2025 |
Kemaskini: 26/08/2025 | lanz
PERKONGSIAN MEDIA