Marudi, 28 September 2025 – Seramai tujuh pelajar antarabangsa dari China yang mengikuti Program Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA), Universiti Putra Malaysia Sarawak (UPMS) bersama tiga pegawai pengiring telah mengadakan lawatan industri ke Egrow Crop Sdn. Bhd., Marudi pada 26 hingga 27 September 2025.
Lawatan ini bertujuan memberi pendedahan kepada pelajar mengenai kaedah penanaman nanas, strategi pemasaran, serta amalan pertanian moden yang dilaksanakan melalui kerjasama antara FKPS UPMS dan komuniti di Marudi. Di samping itu, pelajar turut berpeluang menyertai sesi soal jawab serta pertukaran idea bersama para pengusaha tempatan. Demonstrasi penggunaan dron oleh Droneskaki Sarawak, iaitu pengedar sah DJI di Sarawak, juga diadakan bagi memperlihatkan bagaimana teknologi tersebut mampu meningkatkan kecekapan dalam pengurusan ladang.
Pada hari kedua, rombongan melawat Muzium Marudi yang menampilkan warisan sejarah dan budaya masyarakat tempatan, sekali gus memperkayakan perspektif pelajar tentang hubungan antara industri dan budaya.
FKPS melalui projek pemindahan ilmu yang diketuai oleh Dr. Shairil Izwan Taasim memainkan peranan penting dalam membantu komuniti memperkembangkan perniagaan. Pengurus Egrow Crop, En. Isaac Kiu, menyatakan bahawa beliau amat teruja menerima kunjungan pelajar MBA dari China dan turut memperoleh banyak pengetahuan baharu hasil perbincangan dua hala. “Bukan sahaja mereka belajar daripada kami, malah saya juga mendapat inspirasi daripada pengalaman mereka yang bekerja dalam sektor industri di China,” katanya.
Program ini turut disertai oleh Dr. Aryaty binti Alwie, Penyelaras Program MBA UPMS, bersama Dr. Shairil Izwan Bin Taasim, Ketua Projek FKPS UPMS serta En. Ainul Fikri bin Mohamad Pauzi, Pegawai Eksekutif FKPS UPMS, yang hadir memberikan sokongan kepada pelajar sepanjang program berlangsung.
Tarikh Input: 07/10/2025 |
Kemaskini: 07/10/2025 | lanz
PERKONGSIAN MEDIA