Seramai 20 orang peserta dari Bintulu telah menyertai projek “Ternakan Ikan Air Tawar dan Pengurusan Penyakit” yang diadakan di Jabatan Sains Haiwan dan Perikanan, Fakulti Sains Pertanian dan Perhutanan, Universiti Putra Malaysia Sarawak (UPMS). Program pemindahan ilmu ini merupakan salah satu inisiatif di bawah Program Pedayaan Komuniti @UniMADANI, Kementerian Kewangan Malaysia (MOF), melalui Pusat Transformasi Komuniti Universiti (UCTC), Universiti Putra Malaysia.
Projek yang diketuai oleh Dr. Wan Zabidii Wan Morni ini merupakan program berterusan yang bermula dengan sesi pemindahan ilmu selama dua hari, iaitu pada 2 hingga 3 Ogos 2025. Fasa pertama projek ini memberi tumpuan kepada pendedahan teori dan praktikal berkaitan asas penternakan ikan air tawar.
Antara pakar dari Jabatan Sains Haiwan dan Perikanan yang turut terlibat ialah Dr. Kamil Latif, En. Johan Ismail, dan Dr. Syahidah Ahmad, manakala penceramah jemputan dari Jabatan Pertanian Sarawak, En. Robert Mcnamara, turut berkongsi kepakaran dalam bidang akuakultur dan pengurusan penyakit ikan.
Sepanjang program berlangsung, peserta didedahkan kepada pelbagai topik seperti prinsip asas akuakultur, pemakanan ikan, pengurusan kualiti air, penyakit ikan, serta sistem ternakan akuakultur moden. Pada akhir fasa pertama, setiap peserta menerima set akuakultur lengkap yang merangkumi tangki kanvas, mini RAS (Recirculating Aquaculture System), kit kualiti air, pam oksigen, pam air dan peralatan lain yang diperlukan. Peserta kemudiannya akan memasang set akuakultur di kediaman masing-masing sementara menunggu penyerahan anak benih ikan air tawar.
Fasa kedua projek ini telah dilaksanakan pada September 2025, di mana setiap peserta menerima 300 ekor anak ikan Tilapia Hibrid serta bekalan makanan ikan untuk memulakan aktiviti penternakan. Tempoh ternakan dijangka berlangsung dari September hingga Disember 2025, sebelum hasil ternakan dapat dipasarkan. Pemantauan berkala turut dijalankan oleh ahli projek bagi memastikan kesihatan dan pertumbuhan ikan berada pada tahap optimum.
Inisiatif Program Uni@MADANI ini dijangka dapat memperkukuh pengetahuan peserta dan memberi pengalaman praktikal dalam kitaran lengkap penternakan ikan. Peserta, yang majoritinya terdiri daripada golongan nelayan, akan dapat menambah sumber pendapatan isi rumah tanpa hanya bergantung kepada hasil laut atau sungai. Secara keseluruhannya, program ini bukan sahaja menyemai minat komuniti terhadap penternakan ikan air tawar, malah memperkukuh peranan UPMS sebagai institusi ilmu yang komited melahirkan Aquapreneur tempatan yang berilmu, inovatif dan berdaya saing.
Tarikh Input: 16/10/2025 |
Kemaskini: 16/10/2025 | lanz
PERKONGSIAN MEDIA