20 PELAJAR INDIA UPMS TERIMA SUMBANGAN KOMPUTER RIBA MELALUI KERJASAMA MITRA DAN YAYASAN DIDIK NEGARA | UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA SARAWAK sarawak
» NEWS » 20 PELAJAR INDIA UPMS TERIMA SUMBANGAN KOMPUTER RIBA MELALUI KERJASAMA MITRA DAN YAYASAN DIDIK NEGARA

20 PELAJAR INDIA UPMS TERIMA SUMBANGAN KOMPUTER RIBA MELALUI KERJASAMA MITRA DAN YAYASAN DIDIK NEGARA

BINTULU, 24 Julai 2026 – Seramai 20 orang pelajar India Universiti Putra Malaysia Sarawak (UPMS) menerima sumbangan komputer riba menerusi Program Sumbangan Peranti Laptop Mahasiswa India hasil kerjasama Unit Transformasi Masyarakat India (MITRA) dan Yayasan Didik Negara (YDN).

Pengarah Universiti Putra Malaysia Sarawak (UPMS), Profesor Dr. Shahrul Razid Sarbini, merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Unit Transformasi Masyarakat India (MITRA) dan Yayasan Didik Negara (YDN) dalam ucapannya atas komitmen Unit Transformasi Masyarakat India (MITRA) dengan kerjasama Yayasan Didik Negara (YDN) dalam memperkasa akses pendidikan kepada mahasiswa.
 
Beliau berkata, sumbangan ini adalah satu pakej lengkap yang merangkumi bukan sahaja laptop, malah disertakan dengan beg, tetikus dan kad antivirus. Kelengkapan ini dianggap sebagai satu bantuan yang sangat praktikal bagi memudahkan mahasiswa menyiapkan tugasan serta mengikuti kelas secara dalam talian tanpa sebarang kekangan peranti.
 
“Gunakanlah kemudahan yang diberikan oleh kerajaan ini dengan sebaik-baiknya untuk meningkatkan pencapaian akademik. Jadikan bantuan ini sebagai pemangkin untuk terus berusaha sehingga berjaya dan seterusnya menjadi aset kepada negara,” katanya. Beliau turut menegaskan bahawa UPMS sentiasa mengangkat nilai kepelbagaian dan keterangkuman dalam usaha memastikan semua pelajar diberi peluang yang sama untuk berjaya.
 
“UPMS merupakan sebuah universiti yang menghargai kepelbagaian kaum dan budaya. Kita sentiasa berusaha menyantuni semua warga kampus tanpa mengira latar belakang, kerana kepelbagaian inilah yang menjadi kekuatan kita,” tambah beliau.
 
Sementara itu, Ketua Pegawai Kewangan Yayasan Didik Negara, Encik Mohd. Radzi bin Jaafar, menjelaskan bahawa Yayasan Didik Negara merupakan sebuah yayasan di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia yang bekerjasama dengan Unit Transformasi Masyarakat India (MITRA), Jabatan Perdana Menteri bagi melaksanakan program bantuan pendidikan kepada mahasiswa India di institusi pengajian tinggi.
 
Menurut beliau, sehingga kini lebih 3,000 unit komputer riba telah diagihkan kepada mahasiswa India yang berkelayakan di seluruh negara sebagai sebahagian daripada usaha kerajaan memperkasakan akses kepada pendidikan digital.
 
“Kerajaan sentiasa komited membantu pelajar yang memerlukan agar mereka dapat mengikuti pengajian dengan lebih selesa. Gunakanlah peluang ini sebaik-baiknya. Berusahalah mencapai kecemerlangan akademik supaya suatu hari nanti anda dapat membantu keluarga dan menyumbang kembali kepada masyarakat,” katanya.
 
Majlis penyampaian sumbangan komputer riba ini mencerminkan komitmen berterusan kerajaan melalui kerjasama strategik Unit Transformasi Masyarakat India (MITRA) dan Yayasan Didik Negara (YDN) dalam memastikan mahasiswa daripada pelbagai latar belakang mendapat peluang pendidikan yang lebih baik, selaras dengan aspirasi melahirkan graduan yang berdaya saing dan mampu menyumbang kepada pembangunan Malaysia.
 
 
 
 
 
 

 

Date of Input: 01/08/2026 | Updated: 01/08/2026 | lanz

MEDIA SHARING

UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA SARAWAK

Nyabau Road,
97008 Bintulu, Sarawak,
Malaysia

086855205
-
X, (03:22:39pm-03:27:39pm, 11 Sep 2026)   [*LIVETIMESTAMP*]