BINTULU, 16 Januari 2026 – Fakulti Sains Pertanian dan Perhutanan (FSPH), Universiti Putra Malaysia Sarawak (UPMS) telah berjaya menganjurkan 3rd Agricultural and Forestry Sciences Undergraduate Seminar 2026 (3rd AFSUS2026) di Universiti Putra Malaysia Sarawak pada Jumaat lalu.
Seminar tahunan yang bertemakan “Growing Futures: Empowering Youth to Innovate in Sustainable Agriculture and Forestry” ini telah dirasmikan oleh Dekan FSPH, Prof. Madya Dr. Noorasmah Saupi. Beliau berkata, “Seminar ini jelas mencerminkan rasa ingin tahu intelektual serta komitmen tinggi dalam kalangan pelajar. Hasil usaha ini melambangkan peranan penting golongan belia sebagai peneraju masa depan dalam pemeliharaan alam sekitar dan kelestarian global.”
Program ini merupakan platform utama bagi pelajar tahun akhir daripada program Bacelor Sains Perhutanan dengan Kepujian (BSH), Bacelor Sains Bioindustri dengan Kepujian (BSBI), dan Bacelor Sains Akuakultur dengan Kepujian (BSA) untuk membentangkan hasil penemuan penyelidikan mereka.
Antara pengisian utama seminar ini termasuklah perkongsian daripada dua tokoh akademik melalui sesi plenari pertama oleh Prof. Dr. Salmah Yaakop, Timbalan Dekan (Penyelidikan dan Inovasi), UKM yang membincangkan peranan pendebunga, pemangsa, perosak, dan parasitoid dalam pertanian dan perhutanan mampan. Sesi plenari kedua disampaikan oleh Prof. Madya Dr. John Keen Chubo, Timbalan Dekan (Akademik dan Hal Ehwal Pelajar) UPMS yang mengupas rahsia ekosistem bawah tanah serta kepentingannya kepada pokok dan tanah.
Seramai 49 orang pelajar telah membentangkan projek penyelidikan tahun akhir, sekali gus menzahirkan semangat inovasi dalam menghasilkan penyelesaian yang bermakna dan praktikal ke arah pembangunan sistem makanan dan perhutanan yang mampan. Menurut Pengarah Program, Dr. Ameyra Aman Zuki, penganjuran seminar ini merupakan hasil kolaborasi bersepadu antara pelajar, staf akademik serta rakan strategik yang berkongsi komitmen terhadap kecemerlangan akademik dan pembangunan profesional. Penganjuran seminar ini turut mendapat sokongan dan kerjasama daripada Ts. Dr. Shiamala Devi Ramaiya, Dr. Nora Faten Afifah Moahamd dan Dr. Muhamad Azmi Mohammed selaku Penolong Pengarah Program.
Penganjuran seminar ini bukan sahaja berjaya mencapai objektifnya dalam menyediakan platform perkongsian inovasi projek tahun akhir, malah telah mewujudkan jaringan akademik yang kukuh antara pelajar dan ahli akademik. Melalui program ini, para pelajar dapat memperkukuh kemahiran komunikasi ilmiah dan membina keyakinan diri sebagai persediaan melangkah ke dunia profesional dalam bidang tanaman, ternakan, akuakultur, dan perhutanan.
Date of Input: 21/01/2026 |
Updated: 21/01/2026 | lanz
MEDIA SHARING