BINTULU 22 Jun, – Seramai 400 pelajar asrama SMK Bintulu telah menyertai Program Titian Putra Bakti: Suara Menentang Buli 2025 yang berlangsung selama dua hari bermula 21 hingga 22 Jun, dengan pelbagai aktiviti interaktif dan sesi perkongsian ilmu yang bertujuan meningkatkan kesedaran serta memperkasakan usaha membanteras buli dalam kalangan pelajar.
Antara penceramah jemputan yang ialah Dr. Chan Siaw Leng daripada Universiti Putra Malaysia Kampus Bintulu (UPMKB), Insp. Stanford Peter daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) Bintulu, Tuan Mohd Amirudin Bin Labu daripada Pusat Koreksional Bintulu dan Puan Adelina Miran Jalong daripada Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Bintulu yang berkongsi pengalaman dan ilmu bagi membuka ruang kepada pelajar dan komuniti untuk bekerjasama menentang gejala buli.
Pengarah Program Titian Putra Bakti: Suara Menentang Buli 2025, Freddie Anak Andrew Sanggai berkata, inisiatif dua hari ini dianjurkan untuk membentuk kesedaran yang lebih tinggi dalam kalangan pelajar dan masyarakat mengenai bahaya buli serta kesan seriusnya, selain memperkukuh jaringan sosial positif dalam komuniti sekolah.
Program ini memberi pendedahan mendalam tentang kesan negatif buli dan mengalakkan pelajar tampil berani bersuara serta melaporkan sebarang insiden buli yang berlaku di sekolah demi mewujudkan persekitaran yang lebih selamat dan harmoni, di samping menanam nilai hormat, empati dan penyelesaian konflik secara konstruktif.
Sepanjang program berlangsung, pelajar terlibat secara aktif dalam pelbagai aktiviti menarik seperti ceramah dan Latihan Dalam Kumpulan (LDK) yang melibatkan 25 kumpulan bertanding dalam cabaran seperti ‘Buli atau Bukan?’, ‘Detektif Anti-Buli’ dan ‘Explorace: Anti-Bully Challenges’ yang bertujuan memupuk kerjasama serta meningkatkan kesedaran dan keberanian melawan buli dalam kalangan peserta.
“Program ini mampu memberi pendedahan dan mendidik para pelajar malah orang luar akan kepentingan membanteras buli sama ada dalam kalangan pelajar mahupun masyarakat agar tampil berani untuk melawan buli dan berani bersuara untuk diri sendiri dan juga orang lain,” kata Puan Nur Asyiqin Zaidi, penasihat program yang turut hadir merasmikan majlis penutupan di Dewan Cenderawasih.
Program Titian Putra Bakti: Suara Menentang Buli 2025 diharapkan dapat menjadi pemangkin kepada usaha berterusan dalam membina persekitaran sekolah yang lebih selamat, harmoni dan bebas daripada gejala buli.
Date of Input: 07/07/2025 |
Updated: 07/07/2025 | lanz
MEDIA SHARING