BINTULU, 14 Julai – Universiti Putra Malaysia Sarawak (UPMS) telah menganjurkan Alumni Talk sebagai salah satu pengisian Minggu Perkasa Putra Sesi Akademik 2026/2027 bagi Ambilan Diploma dan Persediaan Diploma dengan menampilkan seorang alumni berjaya untuk berkongsi pengalaman, cabaran dan inspirasi bersama pelajar baharu.
Program tersebut menampilkan YBrs. Tn. Mohamad Sabrie Mohamad Salleh, Ahli Lembaga Pengarah Universiti, Universiti Putra Malaysia (Wakil Alumni) sebagai penceramah jemputan. Beliau berkongsi perjalanan pendidikan, pengalaman kerjaya serta cabaran yang ditempuhi sehingga berjaya mencapai kedudukan pada hari ini.
Dalam perkongsiannya, beliau menekankan kepentingan mempunyai matlamat yang jelas, membina disiplin diri, memanfaatkan peluang yang disediakan oleh universiti serta sentiasa berusaha meningkatkan ilmu dan kemahiran sebagai persediaan menghadapi cabaran dunia pekerjaan yang semakin kompetitif. Beliau turut menggalakkan pelajar agar aktif melibatkan diri dalam pelbagai aktiviti pembangunan diri di samping mengekalkan kecemerlangan akademik sepanjang tempoh pengajian.
Program tersebut turut dihadiri oleh YBhg. Prof. Dr. Arifin Abdu, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UPM, YBhg. Prof. Dr. Shahrul Razid Sarbini, Pengarah UPMS, Prof. Madya Dr. Noorasmah Saupi, Dekan Fakulti Sains Pertanian dan Perhutanan, Prof. Madya Ts. Dr. Wong Tze Jin, Dekan Fakulti Kemanusiaan, Pengurusan dan Sains serta barisan Ahli Pengurusan Universiti Putra Malaysia Sarawak.
Penganjuran Alumni Talk merupakan antara inisiatif universiti dalam memperkukuh hubungan antara alumni dan warga kampus, di samping menyediakan platform kepada pelajar baharu untuk memperoleh pandangan serta pengalaman sebenar daripada alumni yang telah berjaya dalam bidang profesional masing-masing. Melalui perkongsian ini, pelajar didedahkan kepada realiti dunia kerjaya serta nilai-nilai kepimpinan, integriti dan ketabahan yang menjadi asas kepada kejayaan.
Program ini diharapkan dapat menyemarakkan semangat Jiwa Putra dalam kalangan pelajar baharu serta menjadi pemangkin kepada mereka untuk menimba ilmu dengan penuh dedikasi, membina sahsiah unggul dan mempersiapkan diri sebagai graduan yang kompeten, berdaya saing serta mampu menyumbang kepada pembangunan masyarakat dan negara.
Date of Input: 16/07/2026 |
Updated: 16/07/2026 | lanz
MEDIA SHARING