BINTULU: Seramai 33 pelajar Diploma Kesihatan Haiwan dan Peternakan (DKHP) Semester 3 dan Semester 5 Universiti Putra Malaysia Kampus Bintulu (UPMKB) berjaya menganjurkan program ‘One Health: Preventing Rabies, Protecting Lives’ di Klinik Veterinar UPMKB, baru-baru ini.
Program itu turut mendapat sokongan rakan kolabolasi bersama dengan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) Bintulu, Street Animal Rescue Association Bintulu (SARA), dan Kelab One Health Universiti Putra Malaysia Serdang.
Menurut Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak, Dr. Veronica Lugah, dengan pertambahan kes baharu ini, kumulatif kes rabies dalam kalangan manusia di Sarawak yang dilaporkan sejak wabak diisytiharkan pada Julai 2017 sehinnga kini adalah sebanyak 82 kes, dengan 75 kematian (kadar kematian 91%). Daripada 82 kes ini, 7 kes telah dilaporkan dalam tahun 2024 dan kesemua kes telah meninggal dunia akibat komplikasi daripada jangkitan rabies. Oleh hal yang demikian, program One Health: Preventing Rabies, Protecting Lives merupakan program yang bertujuan untuk meningkatkan kesedaran Masyarakat mengenai bahaya penyakit Rabies sekaligus mengurangkan risiko jangkitan Rabies dalam kalangan masyarakat Bintulu, Sarawak.
Program ini melibatkan dua bahagian, iaitu Webinar secara atas talian pada 8 November 2024 untuk memperluaskan pemahaman para pelajar dan komuniti mengenai kebahayaan penyakit Rabies serta memberi pendedahan terhadap pengawalan penyakit Rabies serantau. Penceramah webinar adalah Dr. Leonora Tuah Merawin (Ketua Penolong Pengarah Bahagian Kawalan Penyakit dan Biosekuriti Veterinar Jabatan Perkhidmatan Veterinar), Dr. Katinka de Balogh (Penasihat Kanan Dasar Pertubuhan Kesihatan Sedunia) dan Dr.Chyna Yong (Penyelifik Lancet-PPATS Commission on Prevention of Viral Spillover). Seramai 650 peserta turut melibatankan diri dalam sesi seminar tersebut.
Pada 9 November 2024, program vaksinasi fizikal telah diadakan di Klinik Veterinar UPMKB, merangkumi 5 aktiviti utama, iaitu program vaksinasi Anti-Rabies percuma, penyahcacingan anjing dan kucing percuma, pameran kesedaran Rabies, gerai permainan ‘Flip Tac Toe’, pertandingan mewarnakan poster Anti-Rabies, dan aktiviti melukis muka untuk para peserta yang menyertai program secara percuma. Suntikan vaksin Anti-Rabies secara percuma kepada anjing dan kucing di Kawasan Bintulu memastikan perlindungan terbaik untuk haiwan-haiwan tersebut. Seramai 350 warga Bintulu turut menghadiri untuk meraikan pelbagai jenis aktiviti tersebut.
Pengarah program Tang Chai Wen berkata, program pemvaksinan anjing dan kucing secara besar-besaran terbukti merupakan cara yang berkesan, kos efektif, dan efisien untuk menyelamatkan nyawa manusia dan menghentikan penularan Rabies dari sumber utamanya, bak kata pepatah ‘mencegah lebih baik dari mengubati’.
"Pengawalan dan penamatan Rabies dalam populasi anjing dan kucing adalah kunci utama untuk mencegah penularan penyakit Rabies dalam kalangan manusia secara berkesan dan berterusan. Program ini memberikan impak positif kepada pemilik haiwan peliharaan seperti anjing dan kucing tentang kepentingan vaksinasi Anti-Rabies rutin untuk melindungi haiwan kesayangan mereka," katanya.
Secara tuntas, program One Health: Preventing Rabies, Protecting Lives telah berjaya memvaksinkan 40 ekor anjing dan 50 ekor kucing secara besar-besaran dalam kalangan Masyarakat Bintulu untuk mengurangkan risiko penularan penyakit Rabies terhadap manusia. Pada masa yang sama, sebanyak 40 ekor anjing dan lebih daripada serratus ekor kucing juga diberi ubat cacing (deworming) semasa aktiviti vaksinasi.
Prof Madya Dr Juriah berkata, pelaksanaan program komuniti ini dapat mengasah kebolehan berkomunikasi dan kebolehan menyelia pasukan dalam kalangan pelajar yang terlibat, selain mengurangkan lagi risiko jangkitan rabies yang berkemungkinan membawa maut serta mengancam nyawa manusia dan haiwan.
Katanya, pihak UPMKB berhasrat agar jalinan kerjasama antara Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) Bintulu dan Street Animal Rescue Association Bintulu (SARA) ini dapat terus dijalankan pada tahun mendatang.
Date of Input: 28/11/2024 |
Updated: 28/11/2024 | lanz
MEDIA SHARING