»
NEWS » BERILMU, BERBAKTI, BERJASA: NASIHAT NAIB CANSELOR UPM UNTUK GRADUAN KE-49 (SIDANG 1), UPMS
Naib Canselor Universiti Putra Malaysia (UPM), Dato’ Prof. Ir. Dr. Ahmad Farhan Mohd. Sadullah menyeru para graduan agar terus memanfaatkan ilmu dan pengalaman yang diperoleh sepanjang pengajian untuk kekal relevan serta berdaya saing dalam pasaran kerja yang semakin mencabar.
Beliau menegaskan bahawa kejayaan sebenar bukan hanya diukur melalui pencapaian akademik, tetapi melalui kemampuan membina keperibadian, membentuk kerjaya dan memberi impak positif kepada keluarga, masyarakat dan negara, seiring dengan moto universiti “Berilmu Berbakti.”
Menurut beliau, UPM sentiasa komited melahirkan graduan holistik yang berilmu, beretika, berjiwa besar serta mempunyai daya kepimpinan tinggi. Beliau turut mengingatkan agar setiap graduan meneruskan perjuangan dengan semangat dan ketekunan apabila melangkah ke alam pasca universiti, menjadikan segala pengalaman sepanjang pengajian sebagai asas membina jati diri dan semangat juang.
Majlis Konvokesyen UPM ke-49 Sidang 1 di Universiti Putra Malaysia Sarawak (UPM Sarawak) turut mencatat sejarah sebagai yang pertama selepas penjenamaan baharu kampus berkenaan pada 30 Jun 2025. Majlis itu menyaksikan 556 graduan menerima ijazah dan diploma, termasuk graduan sulung bagi program baharu Bacelor Sains Kimia Perindustrian dengan Kepujian serta Diploma Pengurusan Perniagaan, sekali gus menandakan perkembangan berterusan dalam peluasan akademik universiti.
Date of Input: 11/11/2025 |
Updated: 11/11/2025 | lanz
MEDIA SHARING