BERJAYA HIMPUNKAN 282 PENYERTAAN - KEJOHANAN MEMANAH REMAJA DAN TERBUKA BINTULU 2026 | UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA SARAWAK sarawak
» NEWS » BERJAYA HIMPUNKAN 282 PENYERTAAN - KEJOHANAN MEMANAH REMAJA DAN TERBUKA BINTULU 2026

BERJAYA HIMPUNKAN 282 PENYERTAAN - KEJOHANAN MEMANAH REMAJA DAN TERBUKA BINTULU 2026

BINTULU, 15 Februari – Program sebelum sambutan Tahun Baru Cina dan juga sebelum tibanya bulan Ramadan berjaya mendapat sambutan sebanyak 282 penyertaan dari seluruh Sarawak dan juga negeri jiran, Sabah. Kejohanan yang berlangsung selama 2 hari ini dengan menampilkan 5 kategori yang dipertandingkan menunjukkan semangat perjuangan daripada setiap kelab-kelab memanah dari Kuching, Sarawak sehingga Sipitang, Sabah.
 
Kejohanan ini dianjurkan oleh pelajar Kursus Kokurikulum Berkredit QKS2108 Memanah Semester 2, 2025/2026 dengan kerjasama Persatuan Memanah Bintulu dan juga Persatuan Memanah Sarawak di Dewan Suarah Bintulu.
 
Bagi kategori tradisional campuran bawah 18 tahun, johan dimenangi oleh Hendrayyan Mikhael Bin Hendra Carlos dari Dsofwah Tanjung Manis. Kategori recurve bawah 15 tahun pula dijuari oleh Maia Adra Ali Binti Maruan Ali dari SSC Kuching. Manakala bagi recurve bawah 12 tahun, gelaran juara disandang oleh Ariel Taylor Andy Newton dari SSC Kuching. Penyertaan anak- anak muda ini telah mendapat perhatian daripada jurulatih dan juga Persatuan Memanah Sarawak untuk diserap ke peringkat yang lebih tinggi.
 
Pada hari kedua, pertandingan diteruskan lagi dengan kategori tradisional dewasa lelaki dan perempuan yang menyaksikan persaingan sengit dalam kalangan peserta sehingga ke pusingan penyingkiran. Bagi kategori tradisional dewasa lelaki, johan dimenangi oleh En. Andy Majali dari PMTS (Sipitang), Sabah. Manakala, juara bagi kategori tradisional dewasa wanita dinobatkan oleh Pn. Siti Lubna Binti Dahlan dari GAC.
 
Penyampaian hadiah kepada para pemenang telah disempurnakan oleh En. Haji Bujang Bin Ham, merangkap Presiden Persatuan Memanah Sarawak diiringi oleh En. Muhammad Thaqif Tong selaku fasilitator Kursus Kokurikulum Berkredit QKS2108 Memanah.
 
Pihak penganjur menzahirkan penghargaan kepada semua peserta, khususnya dari luar Bintulu yang sanggup hadir bagi memeriahkan pertandingan ini. Kejohanan ini bukan sahaja menjadi platform mencungkil bakat baharu dalam sukan memanah malah turut mengeratkan hubungan silaturahim antara atlet, jurulatih dan pihak penganjur.

 
 
 
 
 

 

Date of Input: 03/03/2026 | Updated: 03/03/2026 | lanz

MEDIA SHARING

UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA SARAWAK

Nyabau Road,
97008 Bintulu, Sarawak,
Malaysia

086855205
-
X, (11:13:54am-11:18:54am, 08 Sep 2026)   [*LIVETIMESTAMP*]