Pada 9 Ogos 2025 (Sabtu), Pusat Pertanian Putra, Universiti Putra Malaysia Sarawak (UPM Sarawak) telah menganjurkan Kursus Pengurusan Penternakan Ayam Penelur bertujuan untuk memperkasa pengetahuan komuniti setempat dalam bidang penternakan.
Kursus ini diadakan atas permintaan khas daripada komuniti di RH Unor Anak Lagat Batu 28 dan RH Dali Bundan, Pasir Nangka, Tatau, Bintulu, sebagai menyahut inisiatif kerajaan dalam memperkukuh pembangunan ekonomi di peringkat akar umbi, khususnya di kawasan luar bandar.
Usaha ini turut mendukung pelaksanaan Program Geran Sejati Madani yang memberi fokus kepada penternakan ayam penelur sebagai sumber ekonomi komuniti setempat.
Walaupun para peserta hadir daripada latar belakang yang pelbagai, mereka berkongsi matlamat dan semangat yang sama iaitu menimba ilmu dalam bidang penternakan ayam secara sistematik dan berkesan.
Ts. Dr. Carlina Freddie Simol @ Rachellynna, selaku Penyelaras dan Penceramah utama kursus menjelaskan bahawa objektif utama penganjuran kursus ini adalah untuk memberi pendedahan menyeluruh kepada peserta mengenai aspek-aspek penting dalam penternakan ayam penelur.
Program sedemikian ini menepati aspirasi jenama PUTRA – “Pertanian untuk Rakyat” serta selari dengan moto UPM – “Berilmu Berbakti”.
Semoga kursus ini memberi impak positif yang berterusan kepada komuniti setempat dan menyumbang kepada aspirasi Sejati MADANI dalam memperkasakan ekonomi komuniti luar bandar melalui sektor pertanian dan penternakan.
Date of Input: 11/08/2025 |
Updated: 11/08/2025 | lanz
MEDIA SHARING