CABANG AKUAKULTUR BERNILAI TINGGI: PELAJAR UPMS TEROKAI POTENSI INDUSTRI IKAN HIASAN | UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA SARAWAK 127
» NEWS » CABANG AKUAKULTUR BERNILAI TINGGI: PELAJAR UPMS TEROKAI POTENSI INDUSTRI IKAN HIASAN

CABANG AKUAKULTUR BERNILAI TINGGI: PELAJAR UPMS TEROKAI POTENSI INDUSTRI IKAN HIASAN

BINTULU: Seramai 30 pelajar Diploma Perniagaan Tani, Universiti Putra Malaysia Sarawak (UPMS) telah menyertai satu lawatan akademik ke NE Aquatic & Pet dan Natural Ecology Aqua Design di sini baru-baru ini bagi meneroka potensi industri ikan hiasan sebagai salah satu cabang akuakultur bernilai tinggi.
 
Lawatan tersebut diadakan sebagai sebahagian daripada aktiviti pembelajaran bagi kursus Teknologi Akuakultur (FMA2006), yang bertujuan memberi pendedahan secara langsung kepada pelajar mengenai aplikasi teknologi akuakultur moden yang pelbagai. Inisiatif ini turut membuka perspektif lebih dinamik kepada pelajar bahawa industri akuakultur bukan sahaja tertumpu kepada pengeluaran ikan makanan, malah merangkumi sektor ikan hiasan yang mempunyai potensi ekonomi yang besar.
 
Sepanjang lawatan tersebut, pelajar berpeluang melihat secara langsung operasi industri ikan hiasan dan aquascape, termasuk aspek penjagaan hidupan akuatik, pengurusan sistem akuarium berskala kecil dan komersial, produk berkaitan serta potensi pasaran dalam industri ini yang semakin berkembang. Penerangan khusus turut disampaikan oleh pengusaha premis sendiri, iaitu En. Glen dan En. Jimmy, yang menyambut baik serta memberikan sokongan penuh penganjuran program ini.
 
Menariknya, program ini turut menampilkan aktiviti amali pembangunan aquascape, di mana pelajar berpeluang mempelajari teknik pembinaan landskap akuatik melalui demonstrasi serta bimbingan secara langsung oleh pakar industri. Aktiviti tersebut memberi pengalaman praktikal kepada pelajar dalam pemilihan tumbuhan akuatik dan ikan hiasan bersesuaian, penyusunan elemen landskap, pengurusan kualiti air bagi membentuk ekosistem akuarium yang stabil, estetik, dan menyokong pertumbuhan hidupan akuatik.
 
Pensyarah pengiring dari Jabatan Sains Haiwan dan Perikanan (JSHP), Fakulti Sains Pertanian dan Perhutanan, Dr. Syahidah Ahmad, berkata pendedahan seperti ini amat penting dalam membantu pelajar memahami potensi sebenar industri ikan hiasan sebagai salah satu sektor akuakultur yang berdaya maju.
 
Menurut beliau, keterbukaan pihak industri menerima kunjungan pelajar serta kesediaan mereka berkongsi pengalaman operasi memberi nilai tambah yang signifikan kepada proses pembelajaran pelajar, khususnya bagi pelajar dalam bidang Perniagaan Tani yang memerlukan pemahaman terhadap aspek teknikal dan peluang keusahawanan dalam industri.
 
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada pihak NE Aquatic & Pet dan Natural Ecology Aqua Design atas kesudian menerima kunjungan pelajar serta berkongsi kepakaran dalam bidang pengurusan ikan hiasan dan pembangunan aquascape.
 
Program ini diharap dapat memberi inspirasi kepada pelajar untuk meneroka potensi industri ikan hiasan sebagai salah satu sektor akuakultur yang berdaya saing, di samping memperkukuh kerjasama antara universiti dan industri dalam menyokong pembangunan akuakultur di Sarawak.

 


 
 
 

 

Date of Input: 06/04/2026 | Updated: 06/04/2026 | lanz

MEDIA SHARING

UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA SARAWAK

Nyabau Road,
97008 Bintulu, Sarawak,
Malaysia

086855205
-
X, (04:42:25am-04:47:25am, 06 Sep 2026)   [*LIVETIMESTAMP*]