CENTEXS – FAKULTI SAINS PERTANIAN DAN PERHUTANAN, UPM SARAWAK TERAJUI LATIHAN PROFESIONAL SIJIL PENGURUSAN PENTERNAKAN RUMINAN (KERBAU) | UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA SARAWAK sarawak
» NEWS » CENTEXS – FAKULTI SAINS PERTANIAN DAN PERHUTANAN, UPM SARAWAK TERAJUI LATIHAN PROFESIONAL SIJIL PENGURUSAN PENTERNAKAN RUMINAN (KERBAU)

CENTEXS – FAKULTI SAINS PERTANIAN DAN PERHUTANAN, UPM SARAWAK TERAJUI LATIHAN PROFESIONAL SIJIL PENGURUSAN PENTERNAKAN RUMINAN (KERBAU)

LAWAS, SARAWAK, – Kejayaan pelaksanaan Program Sijil Pengurusan Penternakan Ruminan (Kerbau) selama 18 minggu, bermula 16 Jun hingga 17 Oktober 2025, membuktikan keberkesanan jalinan strategik antara Pusat Kecemerlangan Teknologi Sarawak (CENTEXS) dan Fakulti Sains Pertanian dan Perhutanan, Universiti Putra Malaysia Sarawak (FSPH-UPMS) dalam memperkukuh hubungan akademik serta memperkasa jaringan kerjasama industri ternakan tempatan. Program ini menawarkan Sijil bersama antara CENTEXS, Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sarawak (DVSS) dan Universiti Putra Malaysia (UPM).

CENTEXS Kampus Lawas berperanan strategik memajukan masyarakat utara Sarawak dan selatan Sabah melalui pendidikan inklusif dan mudah akses. Akademinya bekerjasama dengan badan pensijilan global seperti Huawei, TWI, ITEC UK, Qualifi UK serta agensi tempatan seperti EIU. Matlamat utama ialah melahirkan pelajar dengan kelayakan antarabangsa yang relevan dengan industri.

Kerjasama Program Sijil Pengurusan Penternakan Ruminan (Kerbau) ini turut diperkukuh dengan penglibatan Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sarawak (JPVS) dan Maragang GreenValley Dairy Sdn. Bhd., yang menyediakan platform latihan industri serta kemudahan ladang sebagai tapak pembelajaran amali kepada para peserta di samping menyokong dalam penyediaan peluang pekerjaan di industri mahupun kerajaan. Sinergi antara pihak akademia, agensi kerajaan dan industri ini membuktikan komitmen bersama dalam memperkasa pembangunan modal insan berkemahiran tinggi bagi menghadapi cabaran keterjaminan makanan serta memacu kemajuan sektor ternakan ruminan, khususnya penternakan kerbau di Sarawak.

Program ini diterajui oleh Akademi Industri dan ESG CENTEXS yang diketuai oleh Ketua Pegawai Akademik, Akademi Industri dan ESG merangkap Ketua Kampus CENTEXS Dalat & Lawas, Dr. Nadianatra binti Musa, serta Unit Kesihatan Haiwan dan Penternakan, Jabatan Sains Haiwan dan Perikanan, FSPH-UPMS, yang diketuai oleh Prof. Madya Dr. Juriah Binti Kamaludeen, dan dibantu tenaga pengajar pakar jabatan iaitu Dr. Masnindah Binti Malahuban, Ts. Dr. Suhaili Mustafa, Dr. Muhamad Hakim Bin Mohd Ali Hanafiah, Dr. Bura Paul Thlama, dan Puan Fathin ‘Athirah Binti Mohd Sabri, dibantu oleh Pegawai Veterinar FSPH, Dr. Siti Nurhani binti Arib, Penolong Pegawai Sains Jabatan, En. Nicholas Anak Maggie dan Personal Mystep 2 Jabatan, Cik Aqeelah Binti Azhar. Program turut diselaras dengan baik oleh Instruktor Sharifah Lia Farliana Wan Alias dari CENTEXS, yang memainkan peranan penting dalam melancarkan koordinasi dan pengurusan program sepanjang tempoh pelaksanaan.

Kurikulum bagi program ini telah dibangunkan sepenuhnya oleh FSPH-UPMS melalui Unit Kesihatan Haiwan dan Pengeluaran, Jabatan Sains Haiwan dan Perikanan, bagi memastikan kandungannya selaras dengan pengetahuan saintifik terkini, piawaian industri, serta amalan pengurusan ternakan mampan. Struktur program selama 18 minggu ini merangkumi 10 minggu pembelajaran teori yang dikendalikan oleh pensyarah UPM serta 8 minggu latihan industri (On Job Training, OJT) bersama rakan industri. Kurikulum program ini mengintegrasikan komponen teori dan praktikal yang menekankan amalan terbaik dalam pengurusan pemakanan, kesihatan haiwan, teknik pembiakan moden, pengurusan ladang bersepadu, serta asas keusahawanan ternakan. Pendekatan ini memastikan keseimbangan antara penguasaan ilmu akademik dan kemahiran teknikal sejajar dengan keperluan semasa industri ternakan ruminan di negeri ini.

Melalui pemantauan dan penilaian akhir yang dijalankan pada 16 Oktober 2025, program ini menunjukkan peningkatan memberangsangkan dalam kemahiran teknikal dan kefahaman peserta terhadap pengurusan penternakan kerbau moden.

Melalui kolaborasi strategik ini, UPMS telah menyumbang kepakaran akademik dan teknikal yang signifikan dalam memastikan kejayaan pelaksanaan program, sekali gus memperkukuh peranan universiti sebagai rakan strategik utama dalam pembangunan industri ternakan di Sarawak. Program ini turut menerima sokongan penuh daripada Ketua Pegawai Eksekutif CENTEXS, YBhg. Dato Haji Syeed Mohd Hussien Wan Abd Rahman, Pengarah JPVS, YBhg. Datu Dr Adrian Susin Ambud, Pengarah UPMS, YBhg. Prof. Dr. Shahrul Razid Sarbini, dan Dekan FSPH-UPMS, Prof. Madya Dr. Noorasmah Binti Saupi, Penolong Pegawai Veterinar Daerah Lawas, En. Robine Asut dan Ketua Pengarah Eksekutif, Maragang GreenValley Dairy Sdn Bhd, Dr. Muhamad Raja Imran Shah.

Kolaborasi antara CENTEXS, JPVS, Maragang GreenValley Dairy Sdn. Bhd. dan UPMS diharap dapat menjadi pemangkin kepada lahirnya lebih ramai usahawan serta tenaga kerja berkemahiran tinggi dalam industri penternakan ruminan, khususnya penternakan kerbau di Sarawak, terutamanya di Zon Utara. Inisiatif ini diyakini akan menyumbang secara langsung kepada pembangunan sektor pertanian dan agromakanan negara yang mampan, berdaya saing, dan berorientasikan inovasi.

 

 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 

 

Date of Input: 22/10/2025 | Updated: 22/10/2025 | lanz

MEDIA SHARING

UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA SARAWAK

Nyabau Road,
97008 Bintulu, Sarawak,
Malaysia

086855205
-
X, (03:00:15pm-03:05:15pm, 11 Sep 2026)   [*LIVETIMESTAMP*]