BINTULU, 28 Julai – Universiti Putra Malaysia Kampus Bintulu Sarawak (UPMS) terus memperkukuh agenda kebajikan mahasiswa menerusi pelancaran Dapur Siswa MADANI@UPM Sarawak 2026, sebuah inisiatif yang menyediakan kemudahan penyediaan makanan yang selamat, bersih dan kondusif bagi membantu pelajar mengurus kos sara hidup, di samping menyokong kesejahteraan mereka sepanjang tempoh pengajian.
Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti UPM, Dato’ Sri Jailani Johari. Penyediaan Dapur Siswa MADANI mencerminkan komitmen berterusan UPM dalam memastikan kebajikan mahasiswa sentiasa menjadi keutamaan universiti.
Dato’ Sri Jailani berkata, inisiatif itu bukan sekadar menyediakan ruang memasak yang selesa kepada mahasiswa, malah menjadi platform yang membolehkan pelajar mengamalkan gaya hidup berjimat cermat, berdikari dan mengurus perbelanjaan harian dengan lebih berkesan.
“Universiti bukan sahaja bertanggungjawab menyediakan persekitaran pembelajaran yang kondusif, malah perlu memastikan aspek kebajikan dan kesejahteraan mahasiswa sentiasa dipelihara,” katanya.
Tambah beliau, Dapur Siswa MADANI merupakan antara usaha yang mampu memberi impak langsung kepada kehidupan pelajar, khususnya dalam menghadapi cabaran peningkatan kos sara hidup,” katanya.
“Saya berharap kemudahan itu dimanfaatkan sebaiknya oleh mahasiswa serta menjadi medium untuk memupuk nilai kebersamaan, saling membantu dan semangat kekitaan dalam komuniti kampus,” katanya.
Inisiatif yang diterajui Majlis Perwakilan Kolej (MPK) Kolej Sri Rajang bagi sesi akademik 2026/2027 mencerminkan kerjasama erat antara pengurusan universiti dan kepimpinan mahasiswa dalam mewujudkan ekosistem kampus yang lebih prihatin terhadap keperluan pelajar.
Selain menyediakan kemudahan penyediaan makanan yang lebih berkualiti dan menjimatkan, Dapur Siswa MADANI dijangka menjadi ruang interaksi warga kolej yang menggalakkan budaya hidup sihat, kerjasama serta amalan saling membantu dalam kalangan mahasiswa.
Program itu juga memberi peluang kepada jawatankuasa pelaksana yang terdiri daripada mahasiswa mengaplikasikan kemahiran dalam pengurusan acara, kepimpinan, komunikasi dan protokol, sekali gus memperkukuh pembangunan sahsiah serta kemahiran insaniah mereka.
Dalam pada itu. pelaksanaan Dapur Siswa MADANI selaras dengan aspirasi Kerajaan MADANI dan Pelan Strategik Universiti Putra Malaysia yang menekankan kesejahteraan mahasiswa sebagai antara pemacu kecemerlangan universiti.
Inisiatif ini membuktikan usaha berterusan UPM dalam membina ekosistem pembelajaran yang inklusif, prihatin dan mampan serta melahirkan graduan yang bukan sahaja cemerlang dari aspek akademik, malah berdaya tahan dan seimbang dari segi pembangunan diri.
Turut hadir, Ahli Lembaga Pengarah Universiti (Wakil Alumni), Mohamad Sabrie Mohamad Salleh; Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Dr. Arifin Abdu, Pengarah UPM Kampus Bintulu Sarawak, Prof. Dr. Shahrul Razid Sarbini serta Pengetua Kolej Sri Rajang, YM Dr. Tengku Sharifah Marliza Tengku Azmi.
Date of Input: 01/08/2026 |
Updated: 01/08/2026 | lanz
MEDIA SHARING