BINTULU, 26 Julai – Program Dare to Dream anjuran Kelab Penyayang Sesi 2025/2026 telah berlangsung dengan jayanya di Kompleks Peryatim Daud Abdul Rahman, menyaksikan penyertaan aktif lebih 20 orang pelajar berusia antara 8 hingga 16 tahun. Program ini dijalankan dari jam 8 hingga 11 pagi dengan objektif membina keyakinan diri dan memupuk semangat anak muda untuk berani bermimpi serta mengejar cita-cita mereka.
Program ini menampilkan Saudara Jeremiah Lucas Jugo Anak David, Presiden Young Counseling Scholar Malaysia (PERKAMA) dari Institut Pendidikan Guru Kampus Raja Melewar, sebagai penceramah jemputan.
Ceramah beliau yang bertemakan "Saya seorang Pemimpi" telah memberi inspirasi besar kepada para peserta, apabila beliau berkongsi kisah jatuh bangun dalam kehidupan sebenar, bermula dari gagal dalam pelajaran hingga berjaya bergelar pendidik dan pemimpin dalam bidang kaunseling serta aktif dalam kesukarelawan.
“Kegagalan itu bukan penamat. Ia adalah batu loncatan untuk kita bangkit dan terus mencuba. Jangan takut untuk bermimpi besar,” ujar Saudara Jeremiah dalam ceramahnya yang disampaikan dengan gaya santai, menyentuh hati dan mudah difahami oleh golongan muda.
Menurut Asiyyah Hani, selaku Pengarah Program, ceramah ini bertujuan membuka mata anak-anak muda agar percaya dengan potensi diri mereka walau dari mana asal mereka. “Melalui program ini, kami ingin menyampaikan mesej bahawa setiap anak-anak ini mampu berjaya jika mereka tidak mudah menyerah kalah dan terus berusaha,” katanya.
Sementara itu, Veronieta Immuk Anak Harry, Presiden Kelab Penyayang, turut menyatakan bahawa Dare to Dream merupakan salah satu inisiatif kelab untuk menyantuni anak-anak Kompleks Peryatim yang merupakan anak angkat rasmi Kelab Penyayang, serta membentuk generasi muda yang lebih berkeyakinan dan berimpian tinggi.
“Kami berharap hubungan yang terjalin antara Kelab Penyayang dan adik-adik di sini akan terus kekal dan memberi impak positif dalam kehidupan mereka,” tambah beliau.
Para peserta juga berpeluang menyertai aktiviti interaktif, sesi soal jawab dan perkongsian cita-cita yang membantu mereka membina kekuatan dalaman serta semangat kerjasama. Reaksi peserta yang ceria dan bersemangat selepas program membuktikan keberkesanan pendekatan yang digunakan.
Program Dare to Dream berakhir dengan sesi bergambar, penyampaian cenderamata kepada penceramah, dan harapan agar program ini menjadi titik permulaan kepada perubahan sikap dan semangat dalam kalangan generasi muda di bawah jagaan Kompleks Peryatim.
Date of Input: 12/08/2025 |
Updated: 12/08/2025 | lanz
MEDIA SHARING