Bagi Adilah Adi, gadis Orang Asli dari Gambang, Pahang, ilmu bukan sekadar jalan untuk mengubah nasib diri, tetapi amanah untuk memajukan komuniti asalnya yang masih berdepan jurang pendidikan dan keyakinan diri. Graduan Bacelor Sains Pembangunan Manusia dengan Pengurusan (Kepujian), Universiti Putra Malaysia Sarawak (UPMS) ini diraikan pada Majlis Konvokesyen Universiti Putra Malaysia Ke-49 (Sidang 1), menandakan satu pencapaian bermakna hasil usaha gigihnya menimba ilmu jauh dari kampung halaman.
Beliau mula menyedari tanggungjawab untuk membantu komuniti selepas menjalani latihan industri di sebuah agensi pembangunan masyarakat yang memperlihatkan kepadanya realiti kehidupan kanak-kanak Orang Asli yang kurang keyakinan untuk melanjutkan pelajaran. Menyedari masih ramai yang menganggap universiti hanya untuk orang bandar, Adilah bertekad untuk menjadi contoh dan penyuntik semangat agar anak muda Orang Asli berani bermimpi besar dan mengejar kejayaan melalui pendidikan.
Kini, Adilah aktif sebagai sukarelawan dalam program motivasi dan kesedaran pendidikan di kawasan pedalaman sekitar Pahang, memberi inspirasi kepada pelajar supaya percaya bahawa mereka juga mampu berjaya jika diberi peluang. Baginya, kejayaan sebenar bukan hanya pada segulung ijazah, tetapi pada kemampuan membawa perubahan dan memperkasa masyarakat sendiri. Pendidikan, katanya, ialah jambatan untuk membina maruah bangsa dan simbol semangat Orang Asli yang mahu maju bersama negara.
Date of Input: 11/11/2025 |
Updated: 11/11/2025 | lanz
MEDIA SHARING