BINTULU, 27 Oktober - Bidang pengucapan awam, merangkumi forum dan pidato, diyakini mampu menjadi pemangkin pembangunan kemahiran komunikasi dan pemikiran kritikal dalam kalangan generasi muda sekiranya platform dan peluang untuk mereka terus berkembang disediakan. Bagi menyokong hasrat ini, Pesta Bakat Orator (PBO) Tahun 2024 yang dianjurkan oleh pelajar Kursus QKT2101 Seni Penghujahan Semester 1 Sesi Akademik 2024/2025 telah berjaya merealisasikan edisi sulungnya dengan meriah selama dua hari, bermula pada 26 hingga 27 Oktober.
Yang Berbahagia Prof. Dr. Shahrul Razid Sarbini, Pengarah Kampus Universiti Putra Malaysia (UPM) Bintulu Sarawak yang hadir sebagai perasmi majlis penutupannya pada Ahad ada menyatakan bahawa program ini perlu diteruskan sebagai wadah penting untuk memperkukuhkan asas intelektual dan kepimpinan dalam kalangan anak-anak tempatan yang berpotensi. “Program ini bukan sahaja memupuk keyakinan diri, tetapi turut menyemai asas intelektual serta kepimpinan yang akan membantu memacu masa depan negara. Suara-suara muda ini harus didengar dan diambil kira dalam merangka dasar pembangunan yang lebih inklusif dan mampan,” ujar beliau.
Antara acara utama di bawah PBO edisi sulung ini adalah Pertandingan Forum Suara Borneo untuk pelajar sekolah menengah dan IPT, Pertandingan Pidato Borneo Cilik untuk murid sekolah rendah, serta Sesi Bual Bicara Borak Idola yang menampilkan SMK Baru Bintulu yang merupakan pasukan Juara Forum Remaja Kebangsaan Tahun 2024, Saudara Wan Irfan Hakim, Mahasiswa UPMKB serta Saudari Nayli Damia dari SMK Kidurong. Sesi bual bicara kali ini menyaksikan segenap ilmu dan pengalaman panel-panel jemputan berjaya dikongsikan dalam acara yang berlangsung hampir dua jam.
PBO 2024 berjaya mengumpulkan sembilan peserta pidato dan 35 peserta forum, dengan sebahagian besar penyertaan daripada belia negeri Sarawak. Majlis penutupan dihadiri oleh hampir 200 penonton menyaksikan pasukan UPMKB A muncul sebagai Juara Pertandingan Forum Suara Borneo, manakala Adik Nur Khayla Safiya Mohamad Fadzillah dari Sekolah Kebangsaan Agama Majlis Islam Sarawak Bintulu dinobatkan sebagai Juara Pertandingan Pidato Borneo Cilik.
Berlandaskan tema “Isu-Isu Pembangunan di Malaysia Timur” dan slogan “Memperkasa Bakat Orator Borneo”, penasihat program, Encik Abdullah Nudin berharap agar sokongan semua pihak termasuk agensi kerajaan dan sektor swasta dapat diteruskan dalam membina ekosistem pengucapan awam yang mantap bagi bakat tempatan. Sesungguhnya bidang inilah yang menjadi arena lahirnya modal insan berketerampilan menarik dan berkualiti tinggi yang sentiasa mengisi sektor tenaga kerja negara pada masa kini dan selamanya.
PBO telah disokong oleh pelbagai pihak termasuklah Pusat Khidmat N68 Tanjong Batu, Pejabat Pendidikan Daerah Bintulu, Unit Komunikasi Awam Sarawak, Harbour-Link Group Berhad, Business Events Sarawak by Sarawak Convention Bureau, Tip Top Printing & Advertising dan juga Sajian Mas Katering.
Antara yang hadir memeriahkan majlis ialah Encik Awangku Aliuddin Pengiran Adenani, Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah Bintulu Sektor Pembangunan Murid yang mewakili Pegawai Pendidikan Daerah Bintulu; Encik Mohamad Syukri Mohamad Adnan, Ketua Pentadbir Pejabat Pengurusan Pelajar UPMKB, serta Puan Abby Kho Yan Ying, Eksekutif Pentadbiran yang mewakili Ketua Pegawai Eksekutif Harbour-Link Group Berhad yang diiring oleh Saudara Alfievian Aiere Anak Roslan selaku Pengarah Program Pesta Bakat Orator (PBO) Tahun 2024.
Date of Input: 30/10/2024 |
Updated: 30/10/2024 | lanz
MEDIA SHARING