EKSPEDISI RAKAN MUDA: DELIVERING HAPPINESS TO RURAL BARIO 2026 BAWA SEMANGAT KESUKARELAWANAN KE PEDALAMAN | UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA SARAWAK sarawak
» NEWS » EKSPEDISI RAKAN MUDA: DELIVERING HAPPINESS TO RURAL BARIO 2026 BAWA SEMANGAT KESUKARELAWANAN KE PEDALAMAN

EKSPEDISI RAKAN MUDA: DELIVERING HAPPINESS TO RURAL BARIO 2026 BAWA SEMANGAT KESUKARELAWANAN KE PEDALAMAN

BARIO, SARAWAK, 25 Ogos 2026 – Sekretariat Rakan Muda Universiti Putra Malaysia Sarawak (UPMS) melakar satu lagi langkah bermakna menerusi penganjuran sulung Ekspedisi Rakan Muda: Delivering Happiness to Rural Bario 2026 yang berlangsung selama tujuh hari dari 19 hingga 25 Ogos 2026.
 
Program yang berteraskan kesukarelawanan, kepimpinan dan kebersamaan mahasiswa ini membawa warga UPMS mendekati masyarakat di pedalaman Bario, Sarawak menerusi pelbagai aktiviti khidmat komuniti, perkongsian ilmu serta interaksi bersama penduduk setempat.
 
Ekspedisi ini turut menjadi platform pelaksanaan Penjelajahan Lasak Tahap Emas dan Perak, Anugerah Remaja Perdana Rakan Muda (ARPRM) dengan penyertaan seramai 20 peserta dan empat orang pensyarah UPMS.
 
Sepanjang ekspedisi, para peserta menempuh perjalanan sejauh 1,024 kilometer dengan sokongan tujuh kenderaan pacuan empat roda (4X4) bagi memastikan kelancaran perjalanan ke kawasan pedalaman Bario.
 
Lebih membanggakan, program ini berjaya menyantuni dan melibatkan seramai 192 pelajar, 15 orang guru serta 50 anggota komuniti setempat menerusi pelbagai aktiviti yang memberi ruang kepada peserta untuk berkongsi pengetahuan, pengalaman dan kemahiran bersama masyarakat.
 
Penglibatan mahasiswa dalam program sebegini bukan sahaja memberi peluang untuk menyumbang kepada komuniti, malah membentuk nilai kepimpinan, kerja berpasukan, daya tahan serta keprihatinan terhadap masyarakat, khususnya komuniti di kawasan luar bandar dan pedalaman.
 
Ekspedisi ini turut mendapat sokongan daripada Kementerian Belia dan Sukan Malaysia, My Starfish Foundation, YB Dato Anyi Ngau selaku Ahli Parlimen P.220 Baram serta Offroad 4X4 Team Belaga.
 
Menurut sekretariat program, kehadiran mereka ke Bario bukan sekadar untuk menyampaikan bantuan, sebaliknya turut membawa masa, tenaga, ilmu dan kegembiraan untuk dikongsi bersama komuniti.
 
“Kami datang bukan hanya untuk memberikan bantuan, tetapi untuk berkongsi masa, tenaga, ilmu dan kegembiraan bersama komuniti Bario.”
 
Ekspedisi Rakan Muda: Delivering Happiness to Rural Bario 2026 membuktikan bahawa mahasiswa mampu memainkan peranan sebagai pemangkin kepada pembinaan komuniti melalui pendekatan kesukarelawanan dan penglibatan secara langsung bersama masyarakat.
 
Dari kampus ke pedalaman, dari mahasiswa kepada masyarakat, setiap langkah yang diambil membawa makna tersendiri dalam membina hubungan dan mencipta impak yang berpanjangan.
 
Walaupun ekspedisi ini telah melabuhkan tirainya, pengalaman, persahabatan dan senyuman yang tercipta sepanjang berada di Bario akan terus menjadi kenangan serta sebahagian daripada perjalanan Rakan Muda UPMS dalam menyemarakkan budaya kesukarelawanan.
 
BARIO 2026 — Delivering Happiness, Creating Impact.
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 

 

Date of Input: 02/09/2026 | Updated: 02/09/2026 | lanz

MEDIA SHARING

UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA SARAWAK

Nyabau Road,
97008 Bintulu, Sarawak,
Malaysia

086855205
-
X, (08:09:31am-08:14:31am, 14 Sep 2026)   [*LIVETIMESTAMP*]